Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

14 kanak-kanak, 5 guru diselamatkan di Johor Bahru susuli banjir kilat

Anggaran Waktu Membaca:
JOHOR BAHRU: Tindakan pantas pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berjaya menyelamatkan kesemua 14 kanak-kanak dan lima guru di Tadika Umiku Sayang, Kampung Mohd Amin di Johor Bahru susulan banjir kilat yang melanda bandar raya Johor baru pada Ahad pagi (25 Sep).

Pegawai Bomba Kanan II Nazarudin Yusof berkata tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi selepas Pusat Gerakan Operasi negeri menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.30 pagi tadi.

"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, PKO bertindak menjalankan operasi penyelamatan dan memindahkan mangsa yang terperangkap dalam banjir ke kawasan selamat iaitu di sebuah restoran makanan segera McDonald's Nong Chik terletak kira-kira 550 meter dari lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Ahad (25 Sep).

Operasi berkenaan ditamatkan kira-kira pukul 10.45 pagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ihsan Johor Farah Faridah Baptist berkata pihaknya turun padang membantu menyelamatkan kanak-kanak terperangkap berusia antara dua hingga enam tahun itu sebelum ditumpangkan di tadika sama di cawangan Larkin.

"Ketika kejadian, kita menghantar peralatan dan pengangkutan bagi membantu membawa keluar kanak-kanak dan guru terjejas. Air naik di tadika itu sehingga paras lutut. Kesemua mereka kini ditempatkan sementara di sebuah lagi tadika di Larkin," katanya yang menerima laporan pada pukul 9.50 pagi.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam kenyataan berasingan memaklumkan sebanyak sepuluh kawasan di daerah Johor Bahru dilaporkan terjejas akibat banjir kilat berikutan pertembungan hujan lebat bermula pukul 6.30 pagi tadi dan fenomena air pasang.

Menurut JPBD, sehingga pukul 12.00 tengah hari ini, kawasan terjejas adalah Batu 10, Skudai; Kampung Dato Sulaiman Menteri; Tabika Kemas, Skudai Kiri; Kampung Mohd Amin; Kampung Ubi; Kampung Tiram Duku; Kampung Peladang; Kampung Baru Muafakat; Kampung Pekajang dan Kampung Paya Mengkuang.

Bagaimanapun, JPBD menyatakan beberapa kawasan yang dinaiki air itu sudah surut dan pemantauan ke tempat kejadian dilakukan dari semasa ke semasa.

Tinjauan Bernama di Kampung Mohd Amin mendapati banjir kilat menyebabkan beberapa rumah penduduk dimasuki air sehingga paras buku lali, halaman rumah mereka pula di paras lutut, manakala jalan raya di hadapan rumah mereka dinaiki air hingga paras paha.

Dalam pada itu JPBD memaklumkan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Agama Seri Bengkal dibuka di daerah Batu Pahat bagi menempatkan 29 mangsa daripada 11 keluarga dari Kampung Seri Bengkal yang dibuka sejak pukul 8.00 pagi tadi (25 Sep).

JPBD turut melaporkan terdapat kejadian ribut di daerah Pontian dan Muar.

Berdasarkan pemantauan dilakukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Johor, Kampung Sungai Naga, Api-Api; Air Baloi dan Parit Haji Omar, Kayu Ara Pasong adalah tiga kawasan di Pontian yang terjejas akibat ribut, manakala bagi daerah Muar melibatkan Kampung Parit Jamil dan Sabah Awor.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan