Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

1.4 juta belia di Thailand menganggur, tiada pendidikan

Anggaran Waktu Membaca:
1.4 juta belia di Thailand menganggur, tiada pendidikan

Gambar: UNICEF Thailand/2021/Preechapanich

BANGKOK: Hampir 1.4 juta atau 15 peratus belia berumur 15 hingga 24 tahun di Thailand didapati menganggur, tidak mendapat pendidikan atau latihan (NEET), menurut satu laporan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Kajian baru bertajuk, “In-depth Research on Youth Not in Employment, Education or Training in Thailand”  mendapati 68 peratus belia tidak mempunyai motivasi untuk mengikuti kursus kemahiran atau bekerja kerana menganggap tidak berpeluang.

Kajian itu mendapati kira-kira 70 peratus belia NEET adalah wanita - kebanyakannya berhenti sekolah akibat mengandung atau memikul tanggungjawab menjaga - dan punca NEET adalah kompleks serta merangkumi pelbagai aspek.

Menurut laporan itu faktor seperti jantina, kumpulan etnik, kesihatan, pencapaian pendidikan yang rendah, kekurangan peluang dan sokongan, serta keadaan sosioekonomi yang lemah serta ketidakpadanan kemahiran, meletakkan golongan muda berisiko menjadi NEET.

“Pandemik COVID-19 memburukkan keadaan dan meningkatkan bilangan NEET. 

“Selain isu pembelajaran, ia menyebabkan tempoh pencarian pekerjaan yang lebih lama, kehilangan pekerjaan, peluang pendidikan dan latihan dalam kalangan belia semakin berkurangan, hingga meningkatkan keputusasaan dalam pendidikan, latihan, dan mencari pekerjaan,” menurut laporan itu.

Kajian yang dikeluarkan pada Rabu (22 Mac), adalah kajian mendalam pertama dalam memberi gambaran komprehensif NEET belia di Thailand.

Sementara itu, wakil UNICEF di Thailand Kyungsun Kim berkata sebahagian besar belia yang tidak mengambil bahagian dalam sektor ini menjadi kebimbangan utama di Thailand, terutamanya apabila ia antara negara mempunyai kadar penuaan terpantas di dunia.

“Ini bermakna kami bertanggungjawab untuk membantu mereka kembali ke landasan yang betul, agar mereka mempunyai akses kepada pendidikan berkualiti dan latihan kemahiran, menyediakan peluang pekerjaan, dan menjadi warganegara yang menyumbang kepada kemakmuran dan kesaksamaan Thailand,” katanya.

Cik Kim berkata, belia NEET terdedah kepada risiko kemiskinan dan penyisihan sosial yang tinggi.

UNICEF menyeru tindakan segera untuk menangani cabaran ini, dengan cadangan penubuhan pusat perkhidmatan sehenti di seluruh negara untuk menyediakan sokongan bersepadu menyasarkan golongan muda dan NEET.

Pusat-pusat ini akan menawarkan pakej perkhidmatan yang komprehensif, termasuk perundingan, aktiviti penglibatan, sokongan kewangan dan pilihan pembiayaan yang boleh diakses untuk membantu belia kembali ke landasan yang betul.

Pejabat Statikal Kebangsaan berkata bilangan belia dalam tenaga buruh menurun daripada 4.8 juta pada 2011 kepada 3.7 juta pada 2021.

Kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 24 tahun meningkat daripada 5.8 peratus pada 2011 kepada 6.5 peratus pada suku ketiga 2022, jauh lebih tinggi daripada kadar pengangguran golongan dewasa iaitu pada 0.7 peratus.
Sumber : Bernama/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan