Skip to main content

Dunia

1,332 penduduk Iran terbunuh dalam perang: Utusan PBB

Anggaran Waktu Membaca:
1,332 penduduk Iran terbunuh dalam perang: Utusan PBB
Duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Amir-Saeid Iravani, menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran, di ibu pejabat PBB di Bandar Raya New York, 28 Februari 2026. (Gambar fail: REUTERS)
Diterbitkan : 07 Mar 2026 11:14AM Dikemas Kini : 07 Mar 2026 11:15AM
TEHRAN: Duta Iran ke PBB, Amir Saeid Iravani berkata pada Jumaat (6 Mac) bahawa sekurang-kurangnya 1,332 orang awam Iran terkorban setakat ini dalam konflik dengan Israel dan Amerika Syarikat, manakala beribu-ribu lagi cedera.

Semasa bercakap kepada wartawan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, Iravani menegaskan bahawa Amerika Syarikat dan Israel sengaja menyasarkan infrastruktur awam, manakala Iran menyasarkan tapak tentera, bukan orang awam.

Amerika Syarikat dan Israel bagaimanapun menafikannya.

Encik Iravani berkata Iran juga tidak menyasarkan kepentingan negara jiran dan sedang menyiasat dakwaan bahawa ia menyerang tapak bukan tentera.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menuntut Iran "menyerah diri sepenuhnya" pada Jumaat sambil berkata bahawa pemimpin tertinggi baharunya mesti "boleh diterima", selepas Ayatollah Ali Khamenei terbunuh pada hari pertama perang. Presiden Trump memberitahu Reuters dalam satu temu bual pada Khamis (5 Mac) bahawa beliau mesti mempunyai suara dalam pemilihan itu.

Encik Iravani menyifatkan kenyataan Presiden Trump sebagai "pelanggaran jelas terhadap prinsip-prinsip tidak campur tangan dalam ehwal dalaman negara, seperti yang termaktub dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu".

"Pemilihan kepimpinan Iran akan berlaku mengikut prosedur perlembagaan kami dan semata-mata atas kehendak rakyat Iran tanpa sebarang campur tangan asing," tambahnya.

Beberapa jam selepas komen Presiden Trump dikeluarkan, presiden Iran mengumumkan bahawa negara-negara yang tidak dinyatakan sudah memulakan usaha pengantaraan, salah satu isyarat pertama bagi sebarang inisiatif diplomatik untuk menamatkan konflik tersebut.

Dua pegawai Amerika memberitahu Reuters bahawa penyiasat Washington percaya ada kemungkinan besar tentera Amerika bertanggungjawab atas serangan yang jelas ke atas sebuah sekolah perempuan Iran yang membunuh ramai kanak-kanak pada Sabtu (28 Feb), tetapi masih belum mencapai kesimpulan yang muktamad.
Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita