Skip to main content

Dunia

1,200 pemandu bas, penumpang disaman di Malaysia kerana tidak pakai tali pinggang keledar

Hampir 1,200 pemandu bas dan penumpang disaman di bawah undang-undang baharu Malaysia yang mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar, berkuat kuasa sejak 1 Julai, menurut pihak berkuasa.

Anggaran Waktu Membaca:
1,200 pemandu bas, penumpang disaman di Malaysia kerana tidak pakai tali pinggang keledar

Sebuah bas pelancongan di Kuala Lumpur pada 25 Mei 2025. (Gambar fail: AFP/Jam Sta Rosa)

Diterbitkan : 24 Jul 2025 02:28PM Dikemas Kini : 24 Jul 2025 02:29PM
KUALA LUMPUR: Hampir 1,200 pemandu bas dan penumpang disaman di bawah undang-undang baharu Malaysia yang mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar, berkuat kuasa sejak 1 Julai, menurut pihak berkuasa.

Bercakap kepada para wartawan pada Rabu (23 Jul), Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Aedy Fadly Ramli berkata sebanyak 1,194 saman sudah dikeluarkan.

Sebilangan besar saman, iaitu 1,108 saman atau hampir 90 peratus dikeluarkan terhadap penumpang manakala 62 saman ke atas pemandu yang didapati tidak memakai tali pinggang keledar, kata Encik Aedy.

Baki 23 saman dikeluarkan terhadap mereka yang gagal memasang tali pinggang keledar dalam bas.

Di bawah undang-undang baharu itu, yang diumumkan oleh JPJ pada 29 Jun, semua pemandu bas dan penumpang bas ekspres dan bas pelancong mesti memakai tali pinggang keledar atau mereka akan disaman sehingga RM300 (S$90.98).

Mereka yang disaman berkata mereka tidak menyedari bahawa pemakaian tali pinggang keledar kini diwajibkan atau undang-undang baharu itu sudahpun dikuatkuasakan.

"Alasan itu tidak boleh diterima kerana pemeriksaan mendapati bahawa kebanyakan pengendali bas dan pemandu sama ada sudahpun membuat pengumuman atau menampal peringatan yang mengingatkan para penumpang supaya memakai tali pinggang keledar," kata Encik Aedy.

Beliau juga menambah warga asing dan para pelancong tidak dikecualikan daripada undang-undang baharu itu.

Gesaan bagi undang-undang lebih ketat yang mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar dibangkitkan menyusuli nahas bas di Perak pada bulan lalu yang mengorbankan 15 mahasiswa.

Encik Aedy berkata "secara keseluruhannya pematuhan terhadap undang-undanga baharu itu sudah meningkat" sejak ia dikuatkuasakan pada 1 Julai.

Para pengendali bas juga mengambil langkah proaktif untuk mengingatkan para penumpang supaya memakai tali pinggang keledar, katanya lagi.

"Para penumpang mula memahami betapa pentingnya memakai tali pinggang keledar ketika menaiki bas," kata Encik Aedy.

Para pegawai JPJ juga akan memantau rakaman litar tertutup (CCTV) bagi menentukan sama ada para penumpang sudah diingatkan untuk berbuat demikian sebelum kenderaan bertolak, katanya lagi, lapor Malay Mail.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita