Skip to main content

Dunia

120 maut dalam serangan terbaharu Gaza; Hamas tegas bantuan dibenar masuk 'syarat minimum' rundingan

Anggaran Waktu Membaca:
120 maut dalam serangan terbaharu Gaza; Hamas tegas bantuan dibenar masuk 'syarat minimum' rundingan

Warga Palestin periksa tapak klinik peribatan di Jabalia yang dibedil serangan udara Israel pada 15 Mei 2025 (Gambar: REUTERS/Mahmoud Issa)

Diterbitkan : 16 May 2025 08:03AM Dikemas Kini : 16 May 2025 08:21AM
WILAYAH PALESTIN: Pasukan penyelamat Palestin melaporkan seramai 120 orang maut pada Khamis (15 Mei) akibat serangan Israel ke atas Gaza, di mana sebuah pertubuhan yang disokong Amerika menyatakan ia bercadang untuk mula menghulurkan bantuan menjelang akhir bulan ini.

Bantuan ke Gaza telah dihentikan sejak 2 Mac, satu taktik yang dikatakan oleh Israel bertujuan untuk memaksa Hamas membuat konsesi.

Namun kumpulan itu menegaskan pada Khamis bahawa membolehkan bantuan kemanusiaan masuk ke wilayah yang dilanda perang itu adalah "syarat minimum" bagi rundingan.

Hamas turut memberi amaran bahawa Gaza bukanlah "untuk dijual", hanya beberapa jam selepas Presiden Amerika Donald Trump, dalam lawatan ke rantau tersebut, sekali lagi mencadangkan untuk mengambil alih wilayah itu dan menjadikannya sebagai "zon kebebasan".

Agensi pertahanan awam Gaza menyatakan angka korban akibat pengeboman Israel sejak awal pagi Khamis telah meningkat kepada 120 orang.

Sekatan bantuan oleh Israel berlaku sebelum operasi ketenteraan disambung semula pada 18 Mac, sekali gus menamatkan gencatan senjata yang sebahagian besarnya telah menghentikan pertempuran sejak pertengahan Januari.

Selama beberapa minggu, agensi-agensi PBB sudah memberi amaran bahawa bekalan makanan, air bersih, bahan api, dan ubat-ubatan semakin kritikal.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan hospital terakhir di Gaza yang menyediakan rawatan barah dan jantung telah berhenti beroperasi selepas serangan Israel pada Selasa menyebabkan ia "rosak teruk dan tidak dapat diakses".

Pelapor khas PBB bagi wilayah Palestin, Francesca Albanese, menuduh Israel "membunuh sisa-sisa kemanusiaan yang masih ada".

GAZA BUKAN "UNTUK DIJUAL"

Selepas insiden terbaharu itu, Hamas menyeru masyarakat antarabangsa agar mempertanggungjawabkan Israel bagi serangan tersebut.

Israel menyatakan sekatan bantuan dan tekanan ketenteraan bertujuan memaksa Hamas membebaskan baki tebusan yang ditawan semasa serangan Oktober 2023 yang mencetuskan perang.

Namun, pegawai kanan Hamas, Basem Naim, berkata kemasukan bantuan ke Gaza adalah "syarat minimum untuk suasana rundingan yang membina".

"Akses kepada makanan, air, dan ubat-ubatan adalah hak asasi manusia, bukan bahan rundingan," tambahnya.

Gaza Humanitarian Foundation, sebuah pertubuhan bukan pemerintah (NGO) yang disokong Amerika, menyatakan ia akan mula mengagihkan bantuan kemanusiaan di Gaza bulan ini selepas rundingan dengan pegawai Israel.

Namun, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis menolak penglibatan dalam inisiatif tersebut.

"Seperti yang telah kami nyatakan berulang kali, pelan pengagihan ini tidak selaras dengan prinsip asas kami termasuk prinsip tidak memihak, berkecuali, dan kebebasan. Oleh itu, kami tidak akan terlibat," kata jurucakap PBB Farhan Haq.

Setiausaha Negara Amerika, Marco Rubio berkata Washington "terbuka kepada pilihan alternatif jika ada jalan yang lebih baik".

Encik Trump menyatakan hasrat Amerika untuk "terlibat" di Gaza.

"Saya ada konsep untuk Gaza yang saya rasa sangat bagus ... biarkan Amerika Syarikat terlibat dan menjadikannya zon kebebasan," katanya ketika berada di Qatar dalam siri lawatan ke Teluk, sambil menambah beliau akan "bangga jika Amerika memilikinya, menguruskannya, dan menjadikannya zon kebebasan".

Kenyataan itu mengulangi idea kontroversi yang dicadangkan beliau pada Februari agar Amerika Syarikat "mengambil alih" wilayah yang musnah itu dan membangunkannya menjadi "Riviera Timur Tengah".

Pegawai Hamas, Naim, berkata: "Gaza adalah sebahagian daripada tanah Palestin, ia bukan hartanah untuk dijual di pasaran terbuka".

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan bahawa 70 peratus daripada Gaza kini sama ada menjadi zon larangan yang diisytiharkan oleh Israel atau berada di bawah perintah pemindahan.

Kementerian Kesihatan di wilayah yang dikendalikan Hamas menyatakan seramai 2,876 orang telah terbunuh sejak serangan Israel disambung semula pada 18 Mac, menjadikan jumlah korban keseluruhan perang mencecah 53,010 orang.

Serangan Hamas mengakibatkan 1,218 orang maut di pihak Israel, kebanyakannya orang awam, menurut kiraan AFP berdasarkan angka rasmi.

Daripada 251 tebusan yang ditawan semasa serangan itu, 57 masih berada di Gaza, termasuk 34 yang, menurut tentera, telah meninggal dunia.
Sumber : CNA/IM/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita