Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

12 terkorban, 40 cedera dalam serangan peluru berpandu ke atas Azerbaijan

Seramai 12 orang terbunuh termasuk dua kanak-kanak manakala lebih 40 cedera selepas tentera Armenia melancarkan serangan peluru berpandu di Ganja, kata Ketua Pendakwa Raya Azerbaijan, hari ini (17 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
12 terkorban, 40 cedera dalam serangan peluru berpandu ke atas Azerbaijan

Pasukan penyelamat menjalankan usaha mencari dan menyelamatkan mangsa di bawah serpihan runtuhan selepas serangan peluru berpandu di Ganja, Azerbaijan. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 17 Oct 2020 04:41PM Dikemas Kini : 17 Oct 2020 04:42PM

BAKU: Seramai 12 orang terbunuh termasuk dua kanak-kanak manakala lebih 40 cedera selepas tentera Armenia melancarkan serangan peluru berpandu di Ganja, kata Ketua Pendakwa Raya Azerbaijan, hari ini (17 Okt).

Pembantu kepada Presiden Azerbaijan, Hikmet Hajiyev, berkata orang awam yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan yang musnah dibedil sedang diselamatkan pasukan kecemasan.

Beliau berkata serangan peluru berpandu terhadap orang awam di Ganja menonjolkan kelemahan dan terdesaknya pemimpin tentera politik Armenia ketika berdepan kekalahan dalam kancah peperangan," tulis beliau menerusi Twitter, lapor Anadolu.

Hajiyev turut berkata Kementerian Luar Armenia berusaha untuk menafikan negaranya bertanggungjawab ke atas jenayah perang itu. Beliau menambah bandar Ganja sebenarnya jauh dari zon pertempuran.

Agensi bertindak bagi peperangan Azerbaijan mengesahkan peluru berpandu yang digunakan mengebom Ganja adalah jenis SCUD.

"Kesan letupan di zon itu membuktikannya. Penggunaan peluru SCUD dengan menyasarkan orang awam menunjukkan pemikiran tidak bermoral pemimpin tentera politik Armenia.

"Orang awam yang berada di bandar kedua terbesar di Azerbaijan berada dalam keadaan bahaya dan menjadi sasaran serangan Armenia," kata Hajiyev.

Dalam serangan itu, menurut beliau yang menukil laporan awal, lebih 20 rumah musnah dan negara itu mendapati sistem peluru berpandu baru digunakan pihak Armenia untuk menyerang orang awam di Azerbaijan.

"Ia satu manifestasi menunjukkan Armenia adalah negara pengganas," ujarnya.

Tentera Armenia turut dilaporkan melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Mingachevir dengan menyasarkan loji kuasa hidroelektrik Azerbaijan.

Pada Jumaat, seramai 47 orang awam terbunuh dan 222 lagi cedera akibat serangan baru tentera Armenia ke wilayah Azerbaijan.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menggesa semua pihak supaya melindungi orang awam serta prasarananya mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Jurucakap kepada Setiausaha PBB, Farhan Haq, berkata Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres mengutuk sebarang serangan yang menyasarkan petempatan awam.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan