Skip to main content

Dunia

12 tebusan warga Thai dibebaskan oleh Hamas, dedah PM Srettha Thavisin

Anggaran Waktu Membaca:
12 tebusan warga Thai dibebaskan oleh Hamas, dedah PM Srettha Thavisin

Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin. (Gambar fail: JUSTIN SULLIVAN / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / Getty Images via AFP)

Diterbitkan : 25 Nov 2023 07:35AM Dikemas Kini : 25 Nov 2023 07:37AM
BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin berkata 12 warga Thai yang diculik oleh Hamas semasa serangan ke atas Israel pada 7 Okt telah dibebaskan pada Jumaat (24 Nov), beberapa jam selepas gencatan senjata sementara dalam perang Israel-Hamas dikuatkuasakan.

"Telah disahkan oleh pihak keselamatan dan Kementerian Luar Negara bahawa 12 tebusan warga Thailand telahpun dibebaskan," tulis PM Thailand itu di X.

"Pegawai kedutaan sedang dalam perjalanan untuk mengambil mereka dalam masa satu jam lagi. Nama dan butiran mereka harus diketahui. Sila tunggu."

Para tebusan dibebaskan dalam perjanjian berasingan yang diusahakan Qatar dan Mesir dengan Hamas, kata seorang pegawai yang diberi taklimat mengenai rundingan itu, sambil menambah bahawa tebusan-tebusan yang dibebaskan itu kesemuanya lelaki dan tidak dilindungi oleh perjanjian dengan Israel itu yang merangkumi wanita dan kanak-kanak.

Rundingan berasingan dimulakan apabila menteri luar Thailand melawat Qatar pada 31 Okt, yang membawa kepada perjanjian khusus dengan Hamas untuk membebaskan warga Thailand, tambah pegawai itu.

25 warga Thailand adalah antara 240 orang yang dianggarkan dijadikan sebagai tebusan oleh Hamas apabila ia menyerang Israel pada 7 Okt lalu.

Dalam serangan terburuk dalam sejarah Israel itu, sekitar 1,200 orang, kebanyakannya orang awam, terbunuh, menurut pihak berkuasa Israel.

Israel bertindak balas dengan melancarkan serangan besar-besaran ke atas Gaza, yang ditadbir oleh Hamas.

Hamas mendakwa perang itu telah membunuh kira-kira 15,000 orang, dengan beribu-ribu daripadanya adalah kanak-kanak.

Pada Jumaat (24 Nov), gencatan senjata sementara dikuatkuasakan selepas rundingan selama berminggu-minggu diadakan oleh Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat.

Di bawah perjanjian itu, tempoh selama empat hari akan menyaksikan sekurang-kurangnya 50 tebusan dibebaskan dari Gaza sebagai pertukaran untuk 150 tahanan Palestin yang ditahan di penjara Israel.
Sumber : Agensi berita/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita