12 pelajar di Port Dickson dikejarkan ke hospital, disyaki keracunan racun serangga
Seramai 24 orang pelajar Sekolah Kebangsaan Linggi di Port Dickson mengalami gejala muntah-muntah, loya dan pening dipercayai keracunan racun serangga jenis Organophosphaste pada Khamis (18 Jul).
Seramai 12 pelajar di Port Dickson dikejarkan ke hospital, disyaki keracunan racun serangga. (Gambar: Bernama)
PORT DICKSON: Seramai 24 orang pelajar Sekolah Kebangsaan Linggi di Port Dickson mengalami gejala muntah-muntah, loya dan pening dipercayai keracunan racun serangga jenis Organophosphaste pada Khamis (18 Jul).
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan S. Veerapan berkata dalam kejadian tersebut, seramai 12 pelajar dikejarkan ke Hospital Port Dickson, manakala 12 lagi dirujuk ke Klinik Kesihatan Linggi untuk mendapatkan rawatan.
"Kesemua mangsa berusia lingkungan tujuh hingga 12 tahun. Daripada 12 kes yang dirujuk ke HPD, tujuh kes dimasukkan ke wad disebabkan Tachycardia.
"Kesemua kes berada dalam keadaan stabil dan tiada kematian akibat keracunan Organophosphaste ini," katanya dalam sidang media di sini, semalam (18 Jul).
Encik Veerapan berkata terdahulu pihaknya menerima laporan daripada Pejabat Kesihatan Daerah Port Dickson, kira-kira pukul 12.10 tengah hari mengenai kejadian di sekolah tersebut.
"Hasil siasatan menemui bahan semburan yang dikenal pasti sebagai Malathion, yang mana bahan tersebut digunakan untuk mengawal ulat di tanaman cili. Namun begitu, dua orang pekerja ladang serta ahli komuniti berdekatan tidak mengalami gejala yang sama dan berdasarkan maklumat daripada pekerja ladang, semburan bermula pukul 8.40 pagi selama satu jam.
"Guru memaklumkan pelajar mula menghidu bau racun sekitar pukul 10 pagi selama 45 minit. Hala angin dipercayai telah menyebabkan semburan racun serangga itu terarah ke sekolah berdekatan dengan ladang cili ini," katanya.
Justeru Encik Veerapan berkata, langkah kawalan sudah diambil termasuk meminta pihak ladang menghentikan operasi buat sementara.
Jabatan Alam Sekitar sudahpun dihubungi dan memaklumkan mengenai kejadian dan pihak mereka akan datang ke sekolah untuk membuat penilaian, manakala Jabatan Pertanian juga sudah dimaklumkan berkaitan kejadian itu dan mereka akan melaksanakan penilaian di kawasan berkenaan.
"Selain itu, pihak sekolah juga telah dihubungi dan akan menutup sekolah pada hari esok untuk aktiviti dekontaminasi. Nasihat kesihatan telah diberikan kepada masyarakat setempat sekiranya terdapat gejala loya dan muntah-muntah agar mendapatkan pemeriksaan kesihatan daripada fasiliti kesihatan yang berdekatan.
"Nasihat dekontaminasi iaitu mandi dan menukar pakaian kepada semua yang terdedah telah diberikan," katanya.
Sementara itu, Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat negeri Jusman Roman berkata racun semburan itu disyaki membentuk ‘vapour cloud’ seakan kabus dan ditiup angin menuju ke kawasan sekolah.
"Kejadian dipercayai berlaku antara pukul 10 pagi hingga 10.30 pagi. Ketika kejadian murid berada di dalam kelas masing-masing.
"Sejurus tiba di tempat kejadian, tindakan awal diambil pasukan bomba dengan mengosongkan kawasan sekolah untuk membuat kerja-kerja pengesanan punca kejadian dalam masa yang sama kita turut membuat nyah cemar terhadap semua mangsa yang terlibat iaitu memandikan dan asingkan mereka supaya mengurangkan risiko keracunan.
Tambahnya, bomba mengambil masa kira-kira satu jam bagi menstabilkan keadaan.
"Kita juga gunakan alat pengesan dan setakat ini tidak ada apa-apa bacaan yang merbahaya (gas bertoksik) dikesan," katanya.
Terdahulu pihak bomba menerima panggilan pukul 2.13 petang dan tiba di lokasi lima minit kemudian.
Seramai enam pegawai dan 16 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang, Port Dickson dan Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) terlibat dalam operasi menyelamat mangsa dan menstabilkan keadaan.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed mengesahkan kejadian itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.