Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

12 kes subvarian Omicron Arcturus dilaporkan di M'sia

Anggaran Waktu Membaca:

PUTRAJAYA: Sebanyak 12 kes COVID-19 subvarian XBB.1.16 atau Arcturus dilaporkan di Malaysia dan kesemuanya bergejala ringan dan stabil.

Menteri Kesihatan Malaysia Dr Zaliha Mustafa berkata daripada jumlah kes itu, sebanyak enam kes dikesan di Sarawak, empat di Selangor dan dua di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menurutnya, subvarian di bawah jenis varian Omicron itu terbentuk hasil gabungan atau rekombinan varian BA.2.10.1 dan BA.2.75 dan sehingga 2 April lalu, ia dikesan sekurang-kurangnya di 31 buah negara di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengkategorikannya sebagai Varian yang Perlu Diberi Perhatian (VOI) sejak 17 April 2023. Ini bermakna hasil penilaian risiko Kumpulan Pakar Teknikal Evolusi Virus SARS-CoV-WHO telah menilaikannya sebagai suatu subvarian yang memerlukan perhatian, tetapi tidak diletakkan dalam kelas varian di bawah pemantauan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin (24 Apr). 

Beliau berkata walaupun Malaysia mengenal pasti varian XBB.1.16 sejak Mac 2023, keadaan jangkitan COVID-19 masih lagi terkawal dan tidak membebankan kapasiti perkhidmatan kesihatan di klinik dan hospital.

Beliau berkata penilaian risiko peringkat global melaporkan risiko jangkitan dan keterukan kes yang disebabkan oleh subvarian XBB1.16 adalah lebih rendah daripada subvarian XBB.1.5 dan varian atau subvarian lain yang telah dilaporkan sebelum ini.

Mengenai situasi COVID-19 dalam negara, Dr Zaliha berkata kes terkini yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 16/2023 telah turun sebanyak 6.4 peratus iaitu daripada 5,149 kes pada ME 15/2023 kepada 4,817 kes.

Beliau berkata varian Omicron kekal sebagai satu-satunya varian yang sedang menular dan sehingga kini sebanyak 70.97 peratus (18,319 kes) daripada jumlah kumulatif kes yang dijangkiti, dikategorikan sebagai Varian yang Membimbangkan (VOC) dan VOI jenis varian Omicron dan subvariannya.

Justeru, Dr Zaliha berkata Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan orang ramai agar terus mengamalkan TRIIS (uji, lapor, asing, maklum dan dapatkan rawatan) bagi yang bergejala dan bagi individu yang disahkan positif COVID-19, perlu melakukan pengasingan kendiri dengan segera untuk tempoh yang ditetapkan.

Menurutnya lagi, KKM juga akan terus memantau situasi dan varian atau subvarian COVID-19 di dalam dan luar negara selain memastikan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan berada dalam keadaan yang optimum bagi memastikan kesejahteraan rakyat untuk hidup bersama virus COVID-19 dengan selamat.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan