Skip to main content

Dunia

12 diberkas susuli kebakaran hospital Beijing; angka korban kini 29

Anggaran Waktu Membaca:

BEIJING: Pihak berkuasa China menyatakan pihaknya sudahpun menahan 12 individu menyusuli kebakaran di sebuah hospital di Beijing yang menyebabkan sekurang-kurangnya 29 terkorban, lapor The Guardian.

Kebakaran yang tercetus pada petang Selasa (18 Apr) di Hospital Changfeng di ibu kota China itu, menyebabkan kematian beberapa pesakit dan puluhan yang lain cedera.

Rakaman yang dimuat naik ke media sosial menunjukkan mangsa berpaut pada tali dan melompat dari bangunan itu, manakala ada juga yang berdiri di atas unit hawa dingin di luar hospital dalam usaha untuk menyelamatkan diri daripada kebakaran itu. 

Timbalan Datuk Bandar Fengtai menyampaikan "takziah yang mendalam" atas kematian 16 wanita dan 13 lelaki akibat kebakaran itu, iaitu insiden paling dahsyat di Beijing dalam tempoh lebih dua dekad. 

"Kami amat berdukacita dan kesal," kata Encik Li Zongrong kepada para wartawan semasa beliau mengumumkan angka korban dalam sidang media pada Rabu (19 Apr). 

"Saya ingin menyampaikan takziah yang mendalam kepada mangsa dan memberi penghormatan kepada keluarga mangsa, mangsa cedera dan saudara-mara mereka. Kami juga memohon maaf kepada penduduk bandar ini," kata beliau lagi. 

Seramai 12 orang, termasuk pengarah hospital, ditahan kerana terkait dengan kebakaran itu, kata Encik Sun Haitao daripada biro keselamatan awam Beijing. 

Tambahnya, wakil daripada sebuah syarikat yang melakukan kerja ubah elok di kemudahan itu juga adalah antara mereka yang ditahan. 

Siasatan awal menunjukkan kebakaran itu berlaku akibat "kebakaran yang tercetus sewaktu kerja ubah elok dan pembinaan jabatan pesakit di hospital tersebut", kata Encik Zhao Yang daripada pasukan bomba bandar itu. 

Kebakaran itu menyebabkan "bahan-bahan mudah meruap dalam cat mudah terbakar turut terbakar di tempat kejadian," dedah Encik Zhao lagi. 

Penyiar negara CCTV melaporkan, antara mereka yang terkorban, 26 adalah pesakit di hospital berkenaan, dua adalah kakitangan hospital dan seorang lagi adalah anggota keluarga pesakit. 

Setakat pagi Rabu, 39 individu dirawat di hospital kerana cedera dan tiga lagi sudah dibenarkan keluar hospital, menurut akhbar People's Daily. 

Kebakaran itu berlaku pada sekitar pukul 1.00 tengah hari pada Selasa dan dipadamkan setengah jam kemudian. 

Setiausaha Parti Beijing, Yin Li, berjanji akan "segera mengenal pasti punca kebakaran itu dan memastikan individu-individu yang bertanggungjawab dikenakan tindakan", menurut Beijing Daily. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita