Skip to main content

Dunia

118 pasangan nikah sebelum Malaysia laksana sekatan di Klang

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melakukan persediaan awal bagi menghadapi kemungkinan situasi bakal pengantin 'menyerbu' Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Klang, susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), mulai Jumaat (9 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
118 pasangan nikah sebelum Malaysia laksana sekatan di Klang

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 10 Oct 2020 09:21AM Dikemas Kini : 10 Oct 2020 09:23AM

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melakukan persediaan awal bagi menghadapi kemungkinan situasi bakal pengantin 'menyerbu' Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Klang, susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), mulai Jumaat (9 Okt).

Pengarah JAIS Mohd Shahzihan Ahmad berkata, persiapan itu termasuk dari sudut pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) PKPB agar ia seiring dengan garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, majlis akad nikah di Selangor dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada asalnya hanya dibenarkan dilaksana di masjid di negeri ini.

"Ekoran tarikh akad nikah mereka (pengantin) jatuh pada tempoh PKPB dan aktiviti di masjid pula ditangguhkan, JAIS ambil tanggungjawab untuk bantu mana-mana pasangan yang akan melangsungkan pernikahan dalam tempoh PKPB ini," katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.

Terdahulu, tular di media sosial gambar bakal pengantin yang 'terpaksa' beratur panjang di hadapan PAID Klang untuk menunggu giliran dinikahkan berikutan pelaksanaan PKPB bermula pada Jumaat.

Encik Mohd Shahzihan berkata, pada Khamis (8 Okt) seramai 118 pengantin diijabkabulkan di PAID Klang oleh lima Pendaftar Perkahwinan Nikah Cerai dan Rujuk Orang Islam Negeri Selangor.

Beliau turut menasihati kakitangannya agar bersedia dengan keadaan luar jangka itu dan semua proses pernikahan dapat diselesaikan sebelum lewat Khamis malam.

Encik Mohd Shahzihan menjelaskan keadaan tersebut hanya sementara waktu kerana pada Jumaat proses pernikahan di pejabat agama daerah itu sudah kembali seperti biasa.

"Buat masa keadaan sekarang (PKPB) JAIS akan bantu pasangan untuk meneruskan majlis nikah mereka dengan membuka pejabat pada Sabtu dan Ahad serta pada hari bekerja," katanya.

Beliau berkata hanya pengantin perempuan, wali dan pasangan pengantin lelaki yang dibenarkan hadir ke pejabat untuk tujuan akad nikah.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita