115,000 petugas jagaan kesihatan tewas kepada COVID-19, dedah WHO
Sekurang-kurangnya 115,000 pekerja jagaan kesihatan meninggal dunia angkara jangkitan COVID-19, dedah ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin (24 Mei) yang turut menyeru agar program vaksinasi dipertingkatkan secara dramatik di semua negara seantero dunia.
GENEVA: Sekurang-kurangnya 115,000 pekerja jagaan kesihatan meninggal dunia angkara jangkitan COVID-19, dedah ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin (24 Mei) yang turut menyeru agar program vaksinasi dipertingkatkan secara dramatik di semua negara seantero dunia.
Semasa pembukaan perhimpunan tahunan utama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ketua pengarah pertubuhan itu, Tedros Adhanom Ghebreyesus memuji dan menyanjungi pengorbanan yang dilakukan oleh para pekerja jagaan kesihatan di seluruh dunia untuk melawan dan membasmi pandemik ini.
"Bagi tempoh selama hampir 18 bulan, para pekerja jagaan kesihatan di seluruh dunia bertarung nyawa melawan penularan virus tersebut," katanya lagi.
"Mereka sudah menyelamatkan banyak nyawa dan masih bertarung nyawa untuk menyelamatkan nyawa orang lain yang sekalipun dengan usaha terbaik mereka, ada yang malangnya tidak dapat diselamatkan."
"Ramai daripada mereka yang turut terjangkit dan walaupun tidak banyak maklumat dilaporkan, kami menganggarkan sekurang-kurangnya nyawa 115,000 pekerja jagaan kesihatan tergadai dalam usaha mereka menyelamatkan nyawa orang lain."
Ramai pekerja jagaan kesihatan, sejak bermula krisis ini, berasa "kecewa, tidak berdaya dan tidak dilindungi, disebabkan oleh kekurangan akses kepada peralatan perlindungan diri (PPE) dan bekalan vaksin yang tidak mencukupi."
Lebih 75 peratus daripada kesemua vaksin COVID-19 dibekalkan untuk hanya 10 negara saja.
"Jumlah dos yang diagihkan di peringkat global setakat ini mungkin sudah cukup untuk menampung kesemua pekerja jagaan kesihatan dan warga tua sekiranya ia diagihkan dengan adil," tegasnya.
WHO dan negara-negara lain mewujudkan Covax, iaitu sebuah program perkongsian vaksin di peringkat global, tetapi ia masih kekurangan dana dan menghadapi kekurangan bekalan yang sangat ketara.
Ini sekali gus melengahkan usaha untuk melancarkan program vaksinasi di negara-negara miskin.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.