Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

113 waran tangkap dikeluarkan berhubung pembinaan bangunan; angka korban gempa Turki-Syria jangkaui 33,000

Anggaran Waktu Membaca:
113 waran tangkap dikeluarkan berhubung pembinaan bangunan; angka korban gempa Turki-Syria jangkaui 33,000

Pasukan penyelamat dari Jerman mencari mangsa di bawah runtuhan bangunan di Kahramanmaras, Turki pada 12 Februari 2023 selepas gempa bumi 7.8 Richter melanda kawasan sempadan Turki dan Syria. (Gambar: Ozan Kose/AFP)

ANKARA: Pihak berkuasa Turki mengeluarkan 113 waran tangkap berkaitan pembinaan bangunan yang runtuh dalam gempa bumi pada Isnin (6 Feb).

Setakat ini sejumlah 12 individu telah ditahan, termasuk kontraktor binaan, menurut polis.

Polis dijangka akan membuat lebih banyak penangkapan tidak lama lagi.

Sementara itu usaha menyelamat mangsa terjejas tergendala di beberapa kawasan akibat pergolakan yang tercetus di selatan Turki.

Angka korban rasmi di Turki dan Syria sudah meningkat kepada lebih 33,000 orang.

Beberapa tahun sebelum ini, para pakar telah memberi amaran bangunan-bangunan baru yang dibina di Turki tidak selamat.

Mereka mendakwa tindakan rasuah yang diamalkan pihak berkuasa dan dasar pemerintah negara itu membuka ruang kepada pihak kontraktor mengabaikan peraturan keselamatan terutamanya di kawasan yang sering dilanda gempa bumi.

Ribuan bangunan runtuh dalam kejadian gempa bumi Isnin lalu dan ini menimbulkan persoalan jika insiden itu diburukkan lagi dengan kegagalan manusia.

Turki akan menghadapi pilihan raya tidak lama lagi dan kejadian gempa bumi ini dikatakan akan menyebabkan kejatuhan Presiden Recep Tayyip Erodogan selepas 20 tahun memegang pucuk pimpinan.

Di kebanyakan kawasan di selatan Turki dan Syria, jutaan penduduk yang kehilangan tempat tinggal kini terpaksa mengharungi cuaca yang sangat sejuk.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran lebih 800,000 individu tidak mendapat makanan yang mencukupi.

Gempa pada Isnin lalu telah disifatkan sebagai yang terburuk dalam tempoh 100 tahun.

Sempadan Turki-Armenia juga dibuka pada Sabtu (11 Feb), pertama kali sejak 35 tahun yang lalu, bagi membolehkan bantuan kemanusiaan dihantar kepada mereka yang terjejas akibat gempa bumi.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan