Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

111 jemaah haji terkandas di KLIA tuntut ganti rugi RM3 juta

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 111 bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Julai lalu memfailkan tuntutan sivil di Mahkamah Tinggi terhadap sebuah syarikat agensi pelancongan yang didakwa terlibat dalam penipuan pakej haji.
Tuntutan yang dianggarkan berjumlah RM3 juta (S$930,670) berserta ganti rugi emosi dan teladan, difailkan melalui firma guaman Tetuan Toriq Seth and Partner, lapor Astro AWANI.

Menurut wakil peguam, Muhammad Nazrin Mohd Seth, kebanyakan bakal jemaah haji yang terlibat dalam insiden tersebut sehingga kini masih belum menerima sebarang ganti rugi daripada agensi pelancongan terlibat, walaupun didakwa akan menyelesaikannya secara berperingkat.

"Sebahagian besar (bakal jemaah) pada 7 Julai masih menanti (ganti rugi) daripada agensi tersebut. Mereka berjaya menyakinkan pihak jemaah untuk tunggu, tunggu dan percaya kepada mereka atas nama agama Islam dan sebagainya.

"Maka (bakal jemaah haji) percaya. Sampai hari kejadian, butiran pesawat yang diberikan tidak wujud.
"Kami juga menggesa kerajaan terutamanya Kementerian Kesenian dan Budaya (MOTAC) untuk melaksanakan kuasa-kuasa seperti mana yang diperuntukkan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992.

"MOTAC boleh melakukan siasatan selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 41 akta tersebut," katanya dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur pada Ahad (31 Jul), lapor Astro AWANI.

Pada 7 Julai lalu, seramai 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA, dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Mengulas lanjut, Encik Muhammad Nazrin turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar menjalankan siasatan terperinci dan mengambil tindakan terhadap pihak dan agensi yang terlibat.

Beliau difahamkan, terdapat lebih kurang 100 laporan polis dibuat oleh jemaah terlibat, bagaimanapun didakwa hanya sebahagian mereka yang dipanggil untuk memberikan keterangan, lapor Astro AWANI.
"Mohon penjelasan PDRM, ada sesetengah yang dipanggil dan sesetengah yang belum dipanggil (memberikan keterangan). Sekiranya siasatan tidak dilakukan secara terperinci.

"Saya juga difahamkan oleh jemaah, masih ada beberapa watak utama yang terlibat secara langsung tidak ditahan untuk berikan kenyataan. Jadi, apa yang berlaku? Kita nak kepastian dan penjelasan," ujar beliau lagi.

Selain itu, Encik Muhammad Nazrin menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan agensi terlibat yang menggunakan kuota Yang Dipertuan Agong, untuk menyakinkan bakal jemaah haji.
Sumber : Agensi berita/FA/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan