Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

11 robot bijak bersihkan Masjidil Haram

Penjaga dua masjid suci Arab Saudi melaksanakan segala cara mungkin dalam usahanya untuk membersihkan dan membasmi kuman di Masjidil Haram meskipun negara itu menyaksikan kemerosotan berterusan pada jumlah kes COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
11 robot bijak bersihkan Masjidil Haram

Jemaah di Masjidil Haram pada 31 Disember 2021. (Gambar: AFP)

MAKKAH: Penjaga dua masjid suci Arab Saudi melaksanakan segala cara mungkin dalam usahanya untuk membersihkan dan membasmi kuman di Masjidil Haram meskipun negara itu menyaksikan kemerosotan berterusan pada jumlah kes COVID-19.

Setiausaha Agung Rendah bagi Agensi Perkhidmatan, Ehwal Lapangan dan Perlindungan Alam Sekitar Mohammed Al-Jabri berkata pelbagai langkah pencegahan dilaksanakan bagi memastikan persekitaran yang selamat serta sihat buat para jemaah menunaikan ibadah mereka.

Operasi pembasmian kuman dan sanitasi sentiasa diselia di Masjidil Haram, begitu juga dengan khidmat pengangkutan serta perkhidmatan lain yang disediakan di pintu gerbang masjid suci tersebut, lapor Arab News.

Sekitar 4,000 pekerja lelaki serta wanita bersama 11 robot bijak dikerahkan untuk membasmi kuman dan mensanitasi pekarangan Masjidil Haram, termasuk 25,000 permaidani yang terdapat di dalam masjid itu.

robot masjidil haram
11 robot bijak dikerahkan untuk membersihkan Masjidil Haram sepanjang masa. (Gambar: Arab News)


Mengulas tentang mesin-mesin pembersihan itu, Encik Al-Jabri berkata: "Agensi ini menggunakan lebih 840 peralatan dan mesin untuk membersihkan serta membasmi kuman di Masjidil Haram. Ia disusuli dengan operasi pencegahan persekitaran dan kawalan jangkitan dengan melengkapi beberapa pasukan untuk mensanitasi semua kawasan Masjid Haram termasuk halaman, tandas, lantai serta permaidani."

Menurut beliau, terdapat 8,000 kereta golf elektrik dan biasa yang digunakan untuk menyediakan khidmat pengangkutan kepada para jemaah. Kesemuanya dibersihkan sebelum dan selepas ia digunakan.

Bagi memastikan pergerakan yang lancar dan teratur bagi para jemaah, agensi itu mengerahkan penyelia di setiap 150 pintu gerbang Masjidil Haram untuk menyambut kehadiran pada jemaah. Para penyelia juga memberi tunjuk arah jalan ke kawasan solat dan tempat-tempat masuk serta keluar yang berbeza di sekitar pekarangan Masjidil Haram.

Kakitangan keselamatan turut dikerahkan ke sekeliling masjid suci itu demi memastikan para jemaah tidak diganggu oleh orang lain yang melakukan kegiatan terlarang seperti merokok, menjual barangan mahupun mengemis, menurut Arab News.

"Agensi sudah menyediakan kawasan itu dengan segala perkhidmatan yang diperlukan termasuk bekas air Zamzam, hawa dingin, almari di mana tersimpannya naskhah al-Quran, sistem bunyi, sistem pencahayaan, permaidani dan tandas di samping mengendalikan tangga bergerak untuk membawa jemaah serta warga emas ke semua lantai," kata Encik Al-Jabri.

Beliau menambah agensinya mengagih-agihkan lebih dua juta botol air Zamzam setiap hari. Lebih 25,000 bekas air Zamzam disediakan untuk kegunaan jemaah di serata Masjidil Haram, termasuk 2,500 dispenser air di bahagian utara masjid itu yang sudah diperluaskan.

Agensi itu juga menyediakan ruang solat jenazah dengan bekas air Zamzam yang mencukupi dan turut menyelia pengagihan botol air Zamzan di halaman masjid suci.

Lebih 50 sampel rambang air Zamzam diambil setiap hari dari tempat-tempat berbeza di dalam Masjidil Haram untuk memastikan ia selamat untuk diminum.

Menurut Encik Al-Jabri, agensi itu mengeluarkan 2,000 permit untuk menyediakan makanan kepada para jemaah yang beribadah di dalam Masjidil Haram serta 70 permit untuk halaman luar masjid itu.

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan