Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

11 rakyat M'sia hanyut ke Filipina selepas bot karam

Anggaran Waktu Membaca:
11 rakyat M'sia hanyut ke Filipina selepas bot karam

(Gambar: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM))

SANDAKAN: Sebelas individu termasuk tiga kanak-kanak berdepan dengan detik cemas selepas bot yang dinaiki mereka karam sebelum hanyut ke perairan Filipina sejak tiga hari lalu.

Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam satu kenyataan pada Sabtu (1 April) memaklumkan bahawa pada Jumaat (31 Mac), pihaknya menerima maklumat sebuah Kapal Dagang Tomini Dynasty menjumpai 11 warga Malaysia di Perairan Sibutu, Filipina.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima, bot yang dinaiki 11 mangsa telah terbalik akibat cuaca buruk.

"Seterusnya, Kapal Diraja Paus (KD PAUS) diatur gerak untuk melaksanakan pertemuan bersama kapal dagang berkenaan di perairan Tanjung Labian bagi mengambil semua mangsa yang terlibat.

"Semua mangsa kemudiannya berjaya diambil lalu dibawa ke Pulau Tambisan dan diserahkan kepada Pasukan Polis Marin Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya," katanya, dipetik daripada agensi berita Astro Awani.

Menurut kenyataan itu, salah seorang mangsa yang dikenali sebagai Siti Naun Osman, 25 tahun, sempat memberitahu bagaimana kejadian berkenaan berlaku.

"Mangsa memaklumkan dia bersama 10 lagi mangsa (lima wanita, dua lelaki dan tiga kanak-kanak) dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Semporna pada sebelah malam 29 Mac lalu.

"Namun, bot yang dinaiki mereka telah terbalik dipukul ombak yang kuat.

"Mangsa terpaksa bertahan selama tiga hari dengan hanya duduk di atas bot yang terbalik bagi menyelamatkan diri mereka sebelum ditemui kapal dagang terbabit," katanya, lapor Astro Awani.
 
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan