Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

11 polis di Melaka ditahan positif dadah

Seramai 11 anggota polis di Melaka termasuk seorang wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah selepas gagal dalam ujian saringan air kencing menerusi Ops Blue Devil yang dijalankan serentak di seluruh negara sejak 13 Ogos lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
11 polis di Melaka ditahan positif dadah

Gambar fail kereta polis di Malaysia. (Gambar: Manan Vatsyayana/AFP)

Diterbitkan : 23 Aug 2019 06:21PM Dikemas Kini : 23 Aug 2019 06:27PM

MELAKA: Seramai 11 anggota polis di Melaka termasuk seorang wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah selepas gagal dalam ujian saringan air kencing menerusi Ops Blue Devil yang dijalankan serentak di seluruh negara sejak 13 Ogos lalu.

Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, ACP Salim Youb berkata, sehingga kini, 68 pemeriksaan dan saringan dilakukan, dan kesemua anggota yang ditahan itu berusia antara 20 tahun dan 50-an.

"Seorang daripadanya merupakan anggota Polis Marin dan dia ditahan kerana memiliki dadah jenis meth (methamphetamine)," katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Melaka, di IPK Melaka,hari ini (23 Ogos).

Majlis penyerahan tugas antara ACP Salim yang memangku jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Melaka dan Timbalan Ketua Polis Melaka yang baru, Encik Sharul Lailli Masduki itu disaksikan oleh Timbalan Pengarah Pengurusan (Bahagian Dasar Sumber Manusia), Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Encik Azmi Abu Kassim.

Encik Sharul yang sebelum ini bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah (D8) Bahagian Siasatan Khas di Bukit Aman menggantikan tempat SAC Kamaluddin Kassim yang bersara sebagai Timbalan Ketua Polis Melaka.

Sementara itu Encik Azmi berkata, Ops Blue Devil dilakukan menerusi saringan maklumat dan maklum balas yang diterima daripada pegawai pemerintah di setiap kontinjen bagi memastikan anggota dan pegawai lebih berintegriti di samping meningkatkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya bilangan yang dikenal pasti atau sasaran pemeriksaan anggota hanyalah melibatkan kira-kira 0.03 peratus daripada jumlah kekuatan organisasi pihak berkuasa berkenaan yang berjumlah kira-kira 120,000 orang di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu bukan semua mereka dikesan positif dadah, namun operasi ini akan dilakukan secara berterusan bagi memastikan setiap pegawai dan anggota mempunyai integriti yang tinggi dan bersih dari penyalahgunaan dadah.

"Sekiranya didapati bersalah mereka juga akan dikenakan tindakan undang-undang seperti orang awam yang lain dan tiada pengeculian," katanya.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan