11 juta kanak-kanak Yaman perlukan bantuan, seorang mati setiap 10 minit
Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran, lebih daripada 11 juta kanak-kanak di Yaman perlukan bantuan kemanusiaan.
Kanak-kanak di Yaman perlukan bantuan. (Gambar: Abdo Hyder/ AFP)
AMMAN: Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran, lebih daripada 11 juta kanak-kanak di Yaman perlukan bantuan kemanusiaan.
"Sekarang boleh dikatakan yang Yaman adalah antara tempat paling buruk di muka bumi untuk dijadikan kediaman kanak-kanak," kata Pengarah Serantau UNICEF untuk Timur Tengah dan Afrika Utara, Geert Cappelaere.
Menurutnya, kira-kira dua juta kanak-kanak di Yaman kini mengalami kekurangan zat makanan paling buruk membabitkan hampir setiap kanak-kanak lelaki dan perempuan.
"Mereka sangat memerlukan bantuan kemanusiaan," katanya pada sidang media di ibu kota Jordan, semalam (26 Nov).
Tambahnya lagi, UNICEF menganggarkan setiap 10 minit seorang kanak-kanak di negara itu mati akibat penyakit yang boleh dielakkan.
Pegawai PBB memberi amaran, Yaman boleh berdepan krisis kebuluran terburuk dunia sejak berdekad kecuali sekatan yang diketuai Arab Saudi yang memerangi pemberontak Houthi ditarik balik.
Sekatan itu dikenakan selepas tentera Arab Saudi memintas peluru berpandu dilancarkan pemberontak Houthi yang mensasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Riyadh awal bulan ini.
Sebuah pesawat PBB yang membawa vaksin diperlukan kanak-kanak mendarat di ibu kota Yaman, Sanaa yang ditakluk pemberontak pada Sabtu selepas pakatan tentera Saudi menarik balik sekatan buat seketika selepas amaran dikeluarkan ribuan orang boleh mati kerana kekurangan bekalan perubatan.
Tetapi pegawai PBB berkata penghantaran makanan dan ubat-ubatan yang sangat diperlukan ke Hodeida masih tidak dapat dilakukan kerana sekatan.
Hampir 5,000 kanak-kanak sudah terbunuh atau cedera parah sejak Arab Saudi memulakan kempen ketenteraan menyokong kerajaan pada Mac 2015.
Perang itu sudah membunuh lebih 8,600 orang. 2,000 orang lagi terbunuh kerana wabak taun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.