Skip to main content

Dunia

11 bahagian Bersatu Johor bubar susuli krisis dalaman parti

Anggaran Waktu Membaca:
11 bahagian Bersatu Johor bubar susuli krisis dalaman parti
(Gambar: Bersatu)
Diterbitkan : 18 Feb 2026 06:07PM Dikemas Kini : 18 Feb 2026 06:08PM
KLUANG: Sebanyak 11 bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor mengumumkan pembubaran bahagian masing-masing susulan krisis dalaman parti yang melanda ketika ini.

Bahagian terbabit ialah Mersing, Pontian, Johor Bahru, Labis, Simpang Renggam, Sembrong, Pengerang, Tanjung Piai, Ledang, Pulai dan Sri Gading.

Ketua Bahagian Bersatu Pontian, Isa Ab Hamid, yang mewakili ketua-ketua bahagian berkenaan berkata keputusan itu dibuat berikutan ketiadaan sebarang maklum balas jelas daripada kepimpinan parti terhadap kenyataan media yang dikemukakan pada 27 Januari lalu.

Menurutnya, krisis dalaman parti semakin meruncing apabila berlakunya pemecatan Timbalan Presiden, Hamzah Zainudin diikuti pemecatan beramai-ramai ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baru-baru ini.

“Keadaan ini menunjukkan hala tuju parti seolah-olah sudah rosak dan kepercayaan pengundi yang sebelum ini menyokong Bersatu dilihat semakin hilang.

"Ketidakupayaan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Badan Perhubungan Bersatu Johor, Dr Sahruddin Jamal menyatukan ketua-ketua si peringkat bahagian membuatkan kami hilang kepercayaan bersama parti lebih-lebih lagi dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar perletakan jawatan Ketua Bahagian Bersatu bersama kira-kira 100 ahli di Simpang Renggam pada Rabu (18 Feb).

Dalam pada itu, Encik Isa berkata surat peletakan jawatan Ketua Bahagian Bersatu berkenaan akan diserahkan kepada Setiausaha Agung Bersatu, Mohamed Azmin Ali dalam masa terdekat, menurut laporan Sinar Harian.

Tambahnya, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa lagi bahagian akan menyusul melakukan tindakan sama.

"Peletakan jawatan beramai-ramai membabitkan Ketua Bahagian Bersatu dan ahli di peringkat bahagian dibuat dalam mesyuarat bahagian mereka sebelum ini.

"Difahamkan bahagian Bersatu Mersing dan Labis sudah menghantar surat perletakan jawatan. Begitu juga bahagian Johor Bahru," katanya, seperti dilapor Sinar Harian.

Ditanya tentang perancangan masa depan, katanya setakat ini mereka akan bergerak sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu masyarakat setempat.

"Pada dasarnya sebahagian kami pun ada platform NGO. Kami bergerak dengan NGO.

"Dengan parti bawah Perikatan Nasional pun kami bekerjasama. Ada kegiatan-kegiatan yang Pas jemput kami. Sebagai rakan mantan, bekas rakan parti politik, kami akan hadir. Lebih-lebih lagi bulan puasa," ujarnya, seperti dinukil Sinar Harian.
Sumber : Agensi berita/HA/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita