1,000 mangsa banjir di Johor, Pahang terima baucar peralatan eletkrik bernilai RM300

MELAKA: Seramai 1,000 mangsa banjir daripada golongan miskin tegar dan B40 di Johor serta sebahagian Pahang bakal menerima baucar bernilai RM300 (S$89.73) di bawah inisiatif Payung Rahmah, khusus untuk membeli peralatan elektrik.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Salahuddin Ayub berkata baucar itu bertujuan membantu golongan terkesan, khususnya di Batu Pahat dan Segamat, membeli peralatan elektrik seperti mesin basuh serta peti sejuk bagi menggantikan peralatan yang musnah akibat bencana.
Beliau berkata hasil kerjasama antara pihaknya dengan syarikat-syarikat pengeluar barangan elektrik, mangsa banjir itu juga akan ditawarkan untuk membeli peralatan elektrik pada harga diskaun.
"Syarikat-syarikat ini mungkin akan menjual pada harga diskaun dan pada masa yang sama, KPDN akan menokok RM300 (S$89.73) lagi menerusi baucar itu bagi mereka (mangsa) membeli peralatan baru (menggantikan) yang musnah akibat banjir," katanya.
Beliau menambah semua data mengenai agihan inisiatif itu akan dilakukan oleh pegawai kementeriannya bermula Sabtu (18 Mac), bagi memastikan mereka yang menerimanya adalah benar-benar dari golongan miskin tegar dan B40 yang terkesan akibat banjir.
Encik Salahuddin berkata demikian semasa sidang media selepas merasmikan bangunan pejabat baharu Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Melaka di Kota Fesyen, MITC Ayer Keroh, di Melaka pada Sabtu.
Setakat pagi Sabtu, Batu Pahat masih menjadi daerah yang paling terjejas dengan banjir, melibatkan 21,089 mangsa daripada 6,031 keluarga ditempatkan di 81 PPS.
Di Segamat pula, masih terdapat 38 mangsa yang terjejas daripada 13 keluarga dan mereka ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.