Skip to main content

Dunia

100 suspek dicekup dalam serbuan pusat penipuan online di Filipina

Anggaran Waktu Membaca:
100 suspek dicekup dalam serbuan pusat penipuan online di Filipina

(Gambar: AFP/Jam Sta Rosa)

Diterbitkan : 31 Jan 2025 07:55PM Dikemas Kini : 31 Jan 2025 07:57PM
MANILA: Pihak berkuasa Filipina memberkas sekitar 100 individu pada Jumaat (31 Jan) dalam serbuan terhadap sebuah pusat disyaki melakukan penipuan online di Manila, di mana ia dipercayai memeras ugut mangsa.

Serbuan di daerah kewangan Makati itu merupakan sebahagian daripada tindakan keras terhadap pengendali skim jenayah online yang sering berselindung sebagai firma permainan online.

Para pegawai dari Suruhanjaya Presiden Pencegahan Jenayah Terancang (PAOCC) dan Biro Siasatan Nasional, dengan bersenjatakan senapang, menyerbu dua pejabat di sebuah agensi pinjaman dan memberkas para suspek yang melakukan penipuan di hadapan komputer.

Para suspek, di mana kebanyakannya adalah warga muda Filipina, dipercayai mengumpan mangsa menerusi TikTok dan wadah media sosial lain, dan menawarkan pinjaman wang sehingga 25,000 pesos (S$607).

Para peminjam dikenakan 35 peratus kadar faedah mingguan dan mereka yang gagal melunaskan bayaran itu akan diganggu, dimalukan dan diancam disebarkan maklumat peribadi mereka menerusi online, kata pengarah PAOCC Gilberto Cruz kepada para wartawan di tempat kejadian.

"Ada sesetengah mereka yang diganggu sehingga menghidap masalah mental, ada yang kemurungan, dan terdapat juga beberapa individu yang bunuh diri disebabkan oleh gangguan yang dicetuskan oleh individu ini," kata Encik Cruz.

Para suspek boleh didakwa atas kesalahan penipuan dan kesalahan jenayah lain di bawah undang-undang jenayah siber di Filipina, katanya.

Syarikat yang diserbu itu, Wewill Tech Corp, memerlukan mangsa menyerahkan maklumat peribadi dan gambar keluarga masing-masing, di mana para penipu akan menggunakannya untuk membuat ancaman, menurut Encik Cruz.

Beberapa mangsa skim penipuan serupa juga melaporkan menerima keranda dan kalungan bunga pengebumian dihantar ke rumah mereka, katanya.

Pihak berkuasa kini sedang memeriksa kerakyatan pemilik syarikat itu, dedah Encik Cruz.

Mereka juga telah memberkas beberapa suspek warga China yang mengendalikan operasi serupa sebelum ini.

Pemilik pusat skim penipuan itu disyaki adalah saki baki pengendali permainan online yang diharamkan di bawah perintah Presiden Ferdinand Marcos pada tahun lalu, katanya.

"Kebanyakan pekerja di pusat itu adalah warga Filipina" dan mereka berhubungan dengan mangsa menggunakan bahasa tempatan, kata Encik Cruz kepada wartawan.

"Apa yang menakutkan di sini adalah warga Filipina sendiri yang menganggu dan menipu warganegara sendiri," katanya.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita