Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

100 suspek diberkas, dadah bernilai S$470,000 dirampas dalam operasi merata negara

Dadah bernilai S$470,000 dirampas dalam operasi selama lima hari yang menyaksikan 100 suspek diberkas, menurut Biro Narkotik Pusat (CNB) dalam kenyataan medianya pada Sabtu (23 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
100 suspek diberkas, dadah bernilai S$470,000 dirampas dalam operasi merata negara

Seorang suspek disyaki pesalah dadah diberkas dalam operasi dadah yang dijalankan merata negara oleh CNB dari 18 hingga 22 Julai 2022. (Gambar: CNB)

SINGAPURA: Dadah bernilai S$470,000 dirampas dalam operasi selama lima hari yang menyaksikan 100 suspek diberkas, menurut Biro Narkotik Pusat (CNB) dalam kenyataan medianya pada Sabtu (23 Jul).

Dadah yang dirampas itu meliputi 194 gram (g) heroin, 657g Ice, 9,339g ganja, 104g ketamine, 7g Bahan Psikoaktif Baru (NPS), 236g pil Ecstasy, satu pil Erimin-5, satu lembar LSD (lysergic acid diethylamide) dan enam botol cecair yang disyaki mengandungi GHB (gamma-hydroxybutyrate).

Kawasan-kawasan diredah dalam operasi yang dijalankan dari Isnin hingga Jumaat itu termasuk Boon Lay, Changi, Sengkang dan Toa Payoh.

Dalam salah satu kes, para pegawai CNB menyerbu sebuah unit kediaman di Sumang Walk dan menangkap seorang lelaki warga Singapura berusia 56 tahun kerana disyaki mengedar dadah.

Sekitar 66g heroin dan 16g Ice dirampas selain peralatan dadah serta wang tunai berjumlah lebih S$4,300.

sumang drug bust
Paket-paket heroin dan Ice serta peralatan dadah dirampas dari sebuah unit kediaman di kawasan Sumang Walk dalam operasi CNB pada 19 Julai 2022. (Gambar: CNB)


Dalam satu lagi kes, seorang wanita rakyat Singapura berusia 46 tahun dan seorang lelaki warga asing berumur 41 tahun diberkas di Haig Road.

Sekitar 7g Ice dan wang tunai berjumlah hampir S$16,000 ditemui pada wanita tersebut, manakala kira-kira S$8,300, termasuk mata wang asing, dirampas daripada lelaki berkenaan.

Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke tempat persembunyian mereka di kawasan yang sama, di mana para pegawai merampas 327g Ice, 18g ganja, 103g ketamine, 62g pil Ecstasy, satu lembar LSD dan pelbagai peralatan dadah.

Satu bungkusan lain mengandungi sekitar 1g Ice kemudian ditemui oleh para pegawai di pekarangan unit kediaman itu.

Sementara itu, operasi berasingan di Geylang Lorong 7 menyaksikan empat lelaki warga asing, berusia antara 22 hingga 30 tahun, diberkas.

Seorang daripada suspek itu cuba melarikan diri tetapi kemudian ditangkap selepas insiden kejar-mengejar. Wang tunai berjumlah sekitar S$20,000 dirampas daripadanya.

Sebanyak 5g Ice, 35g ganja dan 4g pil Ecstasy dirampas daripada dua suspek lain.

Sebelum kesemua lelaki itu ditangkap, mereka dipercayai sudah membuang sebuah bungkusan yang kemudian ditemui mengandungi wang tunai berjumlah lebih S$14,000.

Para pegawai CNB kemudian menemui lebih banyak dadah - 111g heroin, 234g Ice, 9,282g ganja dan 170g pil Ecstasy - selepas dibawa ke sebuah tempat persembunyian berhampiran Geylang Lorong 9, di mana seorang lagi lelaki diberkas.

geylang drug bust
Antara dadah terkawal termasuk ganja dan pul Ecstasy serta wang tunai dirampas di kawasan Geylang dalam operasi CNB yang dijalankan pada 21 Julai 2022. (Gambar: CNB)


Mereka yang disabit kesalahan mengedar lebih 15g heroin tulen (diamorphine), 250g methamphetamine atau 500g ganja boleh dikenakan hukuman mati.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan