Skip to main content

Dunia

100 rumah rosak dipukul ribut di Perlis

Anggaran Waktu Membaca:

KANGAR: Sebanyak 100 rumah di beberapa kampung mengalami kerosakan khususnya pada bahagian bumbung dalam kejadian hujan lebat dan ribut yang melanda Perlis pada Selasa (12 Jul). 

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Perlis Lt.Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata sehingga kini, pihaknya menerima laporan sebanyak 100 rumah terkesan akibat kejadian ribut yang bermula dari 10.00 pagi hingga lewat petang itu.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan anggaran kerugian masih dalam penilaian,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu (13 Jul). 

Beliau berkata APM menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini dan peka dengan amaran bencana yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. 

“Saya harap orang ramai patuh dengan arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan menyimpan barang-barang berharga di tempat selamat,” katanya.

Pada Selasa (12 Jul), Bernama melaporkan lebih 50 rumah mengalami kerosakan akibat ribut yang melanda Perlis.

Antara kawasan yang terjejas ialah Mata Ayer, Kampung Panggas Kechil, Kampung Lubok Besar, Kuala Perlis, Padang Pauh, Lubuk Sireh, Kangar, Abi, Bukit Keteri, Kurung Batang, Balik Bukit, Wang Besar dan Beseri.

Menurut laman web Jabatan Meteorologi Malaysia, cuaca hujan pada sebelah pagi dan ribut petir pada sebelah petang di satu dua tempat di kawasan pedalaman Perlis akan berterusan sehingga Ahad (17 Julai).

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita