100 potret buah tangan pelukis M'sia buat Ratu Elizabeth sempena Jubli Platinum
Seorang pelukis berhajat menghadiahkan 100 keping potret istimewa buat Ratu Elizabeth sempena sambutan Jubli Platinum Ratu Inggeris itu tahun depan.
(Gambar: AFP)
KUALA LUMPUR: Seorang pelukis berhajat menghadiahkan 100 keping potret istimewa buat Ratu Elizabeth sempena sambutan Jubli Platinum Ratu Inggeris itu tahun depan.
Kata Hakim Abdullah, ketika ditemui Malaysiakini, buah tangan yang diusahakannya menggunakan pensil mula dilukis sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan tahun lalu.
“Tahun depan Ratu Elizabeth akan menyambut ulang tahun ke-70 pemerintahannya.
“Justeru, sebagai meraikan hubungan dua hala yang baik antara Malaysia dengan United Kingdom, saya ingin hadiahkan sebuah koleksi lukisan yang memperincikan Ratu Elizabeth.
“Ini adalah hadiah daripada seorang pelukis Malaysia. Saya berharap hubungan ini akan terus berkembang lebih dekat pada masa hadapan,” katanya kepada Malaysiakini.
Encik Hakim ditemui ketika majlis pelancaran pameran lukisannya, Ninja In A Pencil, di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Turut hadir di acara itu adalah Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom di Kuala Lumpur, Charles Hay.
Istana Buckingham baru-baru ini mengumumkan Ratu Elizabeth merancang untuk meraikan sambutan terbesar dalam dekad ini sempena jubli platinum beliau menaiki takhta. Sambutan tersebut berlangsung dari 2 Jun hingga 5 Jun 2022.
Beliau akan menjadi raja pertama British meraikan jubli platinum dalam sejarah negara itu. Ratu Elizabeth naik takhta pada 6 Februari 1952 ketika beliau baru berusia 25 tahun.
Untuk rekod, selain lorekan (hatch) pensil, menurut Malaysiakini, Encik Hakim merupakan pelukis yang mahir menggunakan teknik berus udara (air brush) tradisional, warna air, akrilik dan pastel.
Beliau pernah menghasilkan lukisan garisan pen untuk sebuah buku Australia berjudul 'Kambalda - History of a Mining Town' oleh J J Gresham.
SELESAIKAN LUKISAN HUJUNG TAHUN INI
Penuntut sarjana muda sastera (BA) iklan kreatif dari Sekolah Reka Bentuk, Universiti Curtin di Perth, Australia Barat pada 1991 itu juga pernah membuat reka bentuk label wain untuk Siri Ulang Tahun Western Mining Corporation pada 1990-an.
Mengulas tujuan buku itu dihasilkan, Encik Hakim, 58 tahun, hanya menjawab ringkas: “Saya tidak berminat politik dunia".
Menurut beliau, ketika ini mungkin sudah terdapat berjuta-juta lukisan mengenai Ratu Elizabeth.
"Justeru saya melukis pula dengan cara yang dapat menceritakan bagaimana perjalanan pemerintahan takhta Ratu Elizabeth,” ujarnya.
Mengenai perkembangan projek berkenaan, bapa kepada seorang anak itu berkata koleksi potret berkenaan sudahpun separuh disiapkan.
Beliau berkongsi kepada Malaysiakini buku mengandungi 100 imej pensil Ratu Elizabeth itu akan mempunyai kira-kira 70 hingga 80 muka surat.
“Sekarang saya sudah berjaya siapkan 50 potret dan akan cuba habiskan baki lukisan selewat-lewat hujung tahun ini.
“Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom di sini sudah melihat koleksi potret berkenaan secara digital. Kami akan berbincang mengenai kemungkinan mengadakan pameran bagi koleksi asal di lokasi yang akan diberitahu kelak.
“Pada masa sama, kami juga akan membincangkan bagaimana koleksi ini boleh memeriahkan lagi sambutan Jubli Platinum Ratu Elizabeth. Ia satu perkembangan positif setakat ni,” ungkap beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.