10 wanita, 12 kanak-kanak maut dalam pertempuran Yaman
Sumber perubatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 12 kanak-kanak dan 10 wanita terbunuh di daerah Hajjah dalam pertempuran terbaru yang meletus di barat laut Yaman.
Seorang kanak-kanak lelaki, iaitu mangsa serangan udara di Hajjah, sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Sanaa. (Gambar: AFP)
NEW YORK: Sumber perubatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 12 kanak-kanak dan 10 wanita terbunuh di daerah Hajjah dalam pertempuran terbaru yang meletus di barat laut Yaman, lapor agensi berita China Xinhua yang memetik kenyataan seorang jurucakap PBB pada Selasa (13 Mac).
"Rakan kemanusiaan kami di sana berkata ramai orang awam dilaporkan terbunuh dalam serangan yang dilancarkan ke atas kawasan kediaman di Daerah Kushar di daerah Hajjah di Yaman sejak beberapa hari lalu," kata Stephane Dujarric, jurucakap Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.
"Sumber perubatan melaporkan bahawa sejumlah 22 orang terkorban, membabitkan 12 kanak-kanak dan 10 wanita," kata Cik Dujarric.
"Penyelaras Kemanusiaan bagi Yaman, Lise Grande, mengutuk keras kematian dan kecederaan yang dialami dalam pertempuran ini serta menyampaikan takziah yang mendalam kepada keluarga mangsa," kata beliau.
Hajjah adalah antara daerah yang paling terjejas bagi krisis di Yaman, katanya.
Lebih sejuta orang kebuluran manakala beribu-ribu kes baru jangkitan kolera dilaporkan di seluruh kawasan tersebut.
"Konflik di Hajjah telah memuncak secara mendadak sejak enam bulan lalu, yang meningkatkan bilangan penduduk yang kehilangan tempat tinggal dari 203,000 kepada kira-kira 420,000 orang," kata Cik Dujarric.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.