Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

10 pelajar diberhentikan sekolah gara-gara kes buli Maktab Rendah Sains Mara

Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) menamatkan pengajian 10 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kangsar yang dikenal pasti terlibat dalam kes buli yang tular baru-baru ini seperti dinukil Astro AWANI.

Anggaran Waktu Membaca:
10 pelajar diberhentikan sekolah gara-gara kes buli Maktab Rendah Sains Mara

(Gambar hiasan: Fred Moon/Unsplash)

Diterbitkan : 14 Dec 2021 08:25PM Dikemas Kini : 14 Dec 2021 08:55PM

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) menamatkan pengajian 10 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kangsar yang dikenal pasti terlibat dalam kes buli yang tular baru-baru ini seperti dinukil Astro AWANI.

Menurut Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Azhar Abdul Manaf, mesyuarat JDM sudah mengkaji kes tersebut dengan teliti dan mengambil keputusan untuk menamatkan pengajian pelajar terbabit berkuat kuasa hari ini (14 Dis).

“Pihak Mara mengambil serius kejadian buli yang berlaku minggu lalu itu dan hukuman yang telah diputuskan ini menunjukkan pihak kita tegas dan tidak berkompromi terhadap kesalahan buli dalam kalangan pelajar-pelajar di bawah mana-mana Institusi Pendidikan Mara, IPMA mahupun tajaan Mara," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Selasa (14 Dis).

Menurut Azhar, ibu bapa pelajar terlibat telah dimaklumkan mengenai keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa berkenaan, munurut Astro AWANI.

Keputusan penamatan pengajian itu dibuat berdasarkan garis panduan yang dinyatakan dalam Panduan Pengurusan Disiplin Pelajar MRSM.

“Keputusan ini kita harap ia bukan sahaja menjadi satu pengajaran kepada pelajar yang terlibat, tetapi juga kepada pelajar-pelajar yang lain agar tidak berlaku lagi perbuatan salah laku di mana-mana institusi pendidikan di bawah Mara," lapor Astro AWANI.

"Kita di Mara tentunya hendak melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu pengetahuan tetapi juga mempunyai sahsiah diri dan tingkah laku peribadi yang baik dan diterima oleh masyarakat," katanya lagi.

Pihak Mara tegas Azhar, komited dalam menangani kes-kes buli dengan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) melalui penguatkuasaan peraturan sekolah.

Selain melaksanakan pemantauan secara berterusan, segala aktiviti pelajar termasuk proses pembelajaran di dalam kelas turut dipantau bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang. 

Sumber : Agensi berita/FA/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan