10 orang cedera akibat bot penumpang meletup di Mersing
(Gambar: Maritim Malaysia)
MERSING: Seramai 10 orang termasuk kru cedera apabila bot penumpang yang dinaiki meletup pada bahagian lantai di kedudukan 7.6 batu nautika timur laut Pulau Pemanggil, di sini hari ini.
Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, tiga mangsa mengalami kecederaan parah dalam kejadian pukul 11.50 pagi itu.
Katanya, semua mangsa terdiri daripada enam wanita dan empat lelaki berusia antara 32 hingga 48 tahun yang dipercayai dalam perjalanan dari Mersing ke Pulau Aur, lapor Astro Awani.
Beliau berkata, bot ronda PERKASA 44 yang sedang melaksanakan rutin Operasi Jaksa dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan mangsa setelah menerima maklumat.
"Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati dua orang mangsa wanita berusia 34 dan 28 tahun mengalami kecederaan parah pada bahagian kaki.
"Empat orang mangsa wanita lagi mengalami cedera ringan di bahagian kaki dan seorang mangsa lelaki berusia 29 tahun mengalami kecederaan parah bahagian kaki dan belakang pinggang.
"Seorang lagi mangsa lelaki 31 tahun mengalami kecederaan pada bahagian kaki. Manakala kru bot iaitu nakhoda bot dan kelasi masing-masing berusia 27 dan 30 tahun hanya mengalami kecederaan ringan," katanya dalam satu kenyataan media di Mersing, pada Selasa (22 Ogos).
Menurut Encik Suhaizan, kesemua mangsa telah diberikan rawatan awal sebelum dipindahkan ke bot lain termasuk bot awam yang berada berhampiran lokasi kejadian untuk dihantar ke Hospital Mersing bagi menerima rawatan lanjut, seperti dinukil laporan Astro Awani.
Katanya punca sebenar letupan berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa.
"Pihak Maritim Malaysia mengucapkan terima kasih kepada Pasukan Polis Marin Malaysia (PPM) dan bot komersil awam serta seluruh agensi dan komuniti maritim yang membantu dalam menyelamatkan mangsa di laut susulan kejadian tersebut," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.