10 maut dalam serangan Rusia jelang mesyuarat Trump-Zelenskyy
Serangan Rusia ke atas bandar-bandar utama Ukraine mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang pada Isnin (18 Ogos), beberapa jam sebelum Presiden Volodymyr Zelenskyy dijangka mengadakan mesyuarat di Washington untuk menamatkan perang dengan Mosko.
Pemandangan dari udara menunjukkan kepulan asap dari bangunan yang musnah di tapak bangunan apartmen yang diserang dron Rusia, di tengah-tengah serangan Rusia ke atas Ukraine, dalam tangkapan skrin yang diambil daripada video yang dikeluarkan pada 18 Ogos 2025. (Gambar: PEJABAT/Edaran PENDAKWA WILAYAH KHARKIV melalui REUTERS)
Seluruh keluarga, termasuk seorang kanak-kanak dan abangnya yang berusia 16 tahun, adalah antara tujuh orang yang terbunuh dalam serangan dron di kawasan perumahan di timur laut Kharkiv, menurut pihak berkuasa. Dua puluh tiga orang cedera, dedah pihak berkuasa selanjutnya.
Tiga orang turut terbunuh dalam serangan peluru berpandu balistik di bandar tenggara Zaporizhzhia, menurut gabenor wilayah itu, sambil menambah 23 lagi cedera.
Di Kharkiv, pasukan penyelamat membawa mangsa yang terselamat yang berlumuran darah untuk menyelamatkan diri daripada serpihan dan kaca yang pecah.
Seorang wartawan Reuters menyaksikan para pegawai perubatan cuba menyelamatkan kanak-kanak itu, yang pakaiannya lusuh dan badannya bersalut habuk.
“Sebuah blok apartmen biasa... keluarga dengan anak kecil, taman permainan kanak-kanak, kawasan kediaman semuanya musnah,” kata seorang penduduk, Olena Yakusheva sambil menahan sebak.
"Kami menetap di sini dan menikmati kehidupan di sebuah bangunan yang kecil."
Encik Zelenskyy, yang menyifatkan serangan itu sebagai "kejam dan menjijikkan", sedang bersiap sedia untuk berbincang dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di tengah-tengah kebimbangan Encik Trump akan menggesa Ukraine supaya menerima syarat-syarat perjanjian damai yang hanya akan menguntungkan Rusia.
Kyiv, yang juga menangkis serangan Rusia yang hebat di sebahagian besar kawasan timur Ukraine, telah memberi amaran bahawa memberi ganjaran kepada Mosko dengan menyerahkan lebih banyak wilayah Ukraine kepada Rusia hanya akan memberi semangat kepada Kremlin untuk meneruskan perangnya, yang kini memasuki tahun keempat.
"Putin akan melakukan pembunuhan untuk mengekalkan tekanan ke atas Ukraine dan Eropah, serta untuk memalukan segala usaha diplomatik," tulis Encik Zelenskyy di laman X.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.