10 maut dalam letupan di pulau Basilan, Filipina
10 orang maut apabila sebuah van meletup di pusat pemeriksaan keselamatan di daerah selatan Filipina
Suasana menyusuli letupan di Pulau Basilan. (Gambar: Tentera Filipina)
KUALA LUMPUR: 10 orang maut hari ini (31 Jul) apabila sebuah van meletup di pusat pemeriksaan keselamatan di daerah selatan Filipina. Ini berlaku beberapa hari selepas Presiden Rodrigo Duterte menggubal undang-undang autonomi bagi membawa keamanan ke rantau Mindanao yang dilanda konflik.
Seorang askar, lima anggota dari Unit Geografi Angkatan Bantuan Rakyat (CAFGU) dan empat orang awam terkorban.
Pihak tentera percaya van berkenaan sedang merancang untuk mengangkut alat letupan yang diubah suai (IED) ke kota Lamitan di pulau Basilan untuk menjalankan serangan-serangan ganas.
Ketua Kakitangan Angkatan Bersenjata Filipina, Jenderal Carlito Galvez Jr, menyifatkan askar itu dan anggota-anggota CAFGU sebagai wira yang mati dalam usaha mereka menyelamatkan yang lain.
IED itu meletup kira-kira jam 5.50 pagi apabila pasukan keselamatan sedang menyiasat kenderaan tersebut, menurut Komand Mindanao Barat dalam satu kenyataan.
Pihak tentera menafikan insiden tersebut merupakan pengeboman bunuh diri. Ia menyatakan siasatan masih lagi berlangsung. Sebuah puak dari Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) yang berpusat di Basilan di bawah suruhan Furuji Indama disyaki terlibat dalam insiden letupan itu.
"Ini dapat dipertikaikan tetapi sebuah kumpulan yang berkaitan dengan mereka (ASG) mungkin bertanggungjawab ke atas letupan ini," kata Leftenan Kolonel Gerry Besana, jurucakap Western Mindanao Command, kepada Mediacorp.
Pendahulu kepada Furuji, Isnilon Hapilon, mengetuai pengambilalihan Marawi pada Mei 2017, mengepung kota itu selama lima bulan sebelum pihak tentera memperoleh semula kawalan.
ASG terkenal dengan penculikan orang-orang tempatan dan asing bagi wang tebusan, dan memancung kepala mereka jika mereka tidak mampu membayar.
Letupan tersebut terjadi kurang seminggu setelah Presiden Filipina Rodrigo Duterte menggubal Undang-undang Organik Bangsamoro (BOL) yang membenarkan rakyat-rakyat Muslim di Mindanao untuk mula bergerak ke arah pemerintahan sendiri menjelang 2022, sebagai sebahagian daripada usaha untuk menghentikan pengganasan di daerah selatan.
Sehari selepas undang-undang itu digubal, Duterte menawarkan peluang bagi kemanan kepada ASG, dengan mengadakan perbincangan dalam usahanya untuk membawa keamanan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.