Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

1 TAHUN PERANG UKRAINE: Arkitek SG Rudy Taslim bina rumah kalis bom untuk mangsa perang Ukraine

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Pengalaman hampir dibunuh, bedilan bom dan roket hampir setiap hari. Namun, itu tidak mematahkan semangat dua warga Singapura ini untuk menyahut panggilan membantu mangsa perang Ukraine dengan membina rumah kalis bom buat mereka.

Sempena memperingati setahun sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, DETIK Personaliti bual bicara dengan seorang arkitek berhati emas Rudy Taslim dan isteri, Lam Bao Yan.

Sudah setahun Rusia menyerang Ukraine. Belum pun ada tanda-tanda bahawa perang akan segera berakhir. Jadi apa yang anda rasakan di lubuk hati kali terakhir anda bertemu dengan penduduk Ukraine?

Rudy Taslim: Ukraine adalah sebuah negara 839 kali lebih besar dari Singapura. Saya baru pulang dari Ukraine dua minggu lalu dan saya mengalami nyata peperangan dan saya mengerti keperitan mereka.

Yang ketinggalan adalah kebanyakan orang tua, wanita yang hilang suami dan juga anak kecil dan orang yang kurang mampu serta kurang upaya. Di Ukraine, banyak kampung-kampung telah musnah. Saya sangat sedih kerana masih ada orang yang tidak mahu atau tidak mampu keluar dari rumah-rumah mereka. Walaupun sangat susah dan sulit, mereka tidak ada tempat lain yang mereka boleh pergi.

Daripada interaksi anda dengan orang-orang di Ukraine, apa yang anda lihat dari renungan mata mereka? Adakah mereka rasa takut ataupun semangat juang masih nyata disebalik peperangan ini?

Rudy Taslim: Mereka tidak mahu perang. Perang itu sangat menyusahkan kerana ia memecahbelahkan keluarga. Ramai rakyat biasa sekarang menjadi tentera kerana mereka perlu melindungi tanah air mereka. Tapi yang saya lihat keadaan dari hari ke hari itu sangat sedih kerana mereka sekarang tidak ada bekalan elektrik. Jadi sekarang musim salju, sangat dingin. Waktu saya di Ukraine suhunya -10 darjah selsius.

Tapi mereka tidak ada rumah. Rumah mereka sudah musnah dan mereka tidak ada elektrik. Kebanyakan mereka tiada air mahupun komunikasi dengan keluarga mereka yang sudah tidak ada lagi di kampung. Ada juga yang perlu alat perubatan. Bagi mereka yang memakai kerusi roda, sewaktu tiada elektrik, lif tidak berfungsi. Jadi mereka tidak boleh turun dari rumah mereka. Ini satu cabaran kerana hampir setiap hari ada bunyi semboyan. Kita harus mencari tempat perlindungan. Kadangkala tidak ada, jadi kita mesti lari ke dalam hutan untuk sementara.
Pernah tak anda rasa nyawa anda terancam ketika anda membuat misi bantuan ini?

Rudy Taslim: Setiap kali kami ke Ukraine, kami tahu situasinya bahaya tapi kami juga mengerti kami tidak boleh memberi kesediaan sepenuhnya. Tetapi saya sangat, sangat bahagia kerana isteri saya menyokong dan juga terlibat dalam kerja-kerja kemanusiaan bersama saya di Ukraine. Walaupun dalam keadaan bahaya, tapi panggilan kami kuat.

Rudy Taslim & isteri Bao Yan terpanggil untuk ke Ukraine
ketika berkhidmat untuk pelarian Ukraine di Jerman.

Anda berdua baru sahaja pulang dari Ukraine dua minggu lalu. Apa tanggapan pertama anda pertama kali ke Ukraine?

Bao Yan: Pertama kali saya ke Ukraine, saya tidak tahu apa hendak dijangkakan pada Mei tahun lalu. Keadaannya tegang dan bunyi semboyan udara sepanjang masa. Apabila ia berlaku, orang ramai perlu bergegas ke bawah tanah untuk bersembunyi. Jika tidak, seperti saya, ada kes di mana tidak cukup tempat perlindungan, kami terpaksa bersembunyi di hutan.

Inilah tempat di mana perang semakin buruk berlaku sekarang iaitu di bahagian timur Ukraine. Jadi apabila saya datang ke tempat ini, 80%-90% rumah musnah. Saya dibawa masuk ke salah sebuah rumah. Ada sebuah keluarga yang tinggal di sini dan menjalani kehidupan seperti biasa tetapi apabila perang berlaku semalaman, rumah ini musnah sebegini. Bumbung musnah, dindingnya pula berlubang. Anda juga boleh lihat kesan darah.

Rudy sudah membina 400 rumah kalis bom di sekitar Ukraine.
Rudy sudah membina 400 rumah kalis bom di sekitar Ukraine.
Rudy Taslim: Ini adalah satu jenis rumah yang kami reka. Jenis ini yang paling kecil. Kami ada tiga jenis – kecil, sederhana dan paling besar. Kami ingin membuat sebuah rumah yang boleh tahan dingin iaitu rumah kecemasan terlindung. Jadi kami menggunakan banyak kayu kerana di Ukraine ada banyak kayu pine. Ia mudah didapati dan juga murah. Kami juga mencari banyak bahan seperti aluminium ataupun pemanas untuk disertakan ke dalam rumah-rumah ini. Sekarang sudah ada 400 rumah sekitar Ukraine. Kami sering balik ke Ukraine kerana kami ingin memastikan bahawa rumah-rumah ini diberi kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Anda pergi ke Ukraine atas dasar panggilan sendiri untuk membantu. Bagaimana anda mengumpul dana?

Bao Yan: Memang pertama kali kami ke sana atas dasar inisiatif kami sendiri. Kami suami isteri berbincang, berapa banyak dana yang diperlukan. Terdapat 48 juta penduduk dan banyak keperluan. Kami menggunakan sumber kami sendiri dan selepas itu kami mula berkongsi dengan keluarga dan rakan-rakan. Mereka berkongsi kepakaran dan sumber. Contohnya, ada yang memberikan baju sejuk dan lain-lain.

Rudy Taslim: Bagi saya, saya punya kepakaran dan saya tahu saya boleh melakukan sesuatu. Waktu saya pertama kali ke Ukraine, saya tahu saya tidak boleh melakukan segala-galanya. Tapi saya harus ada strategi iaitu mencari kilang yang masih dibuka dan berfungsi. Kemudian mencari bahan-bahan yang boleh lagi dipakai untuk membina rumah dan juga mengajak penduduknya untuk mengembleng tenaga membina rumah bersama.
Bagi Bao Yan, apa antara kenangan bertemu dengan penduduk Ukraine? Bagaimana anda berkawan dengan mereka memandangkan ada jurang bahasa?

Bao Yan: Saya teringat seorang wanita tua. Dia tinggal di Bucha. Dia umur hampir 90 tahun. Apabila dia mula-mula nampak saya, dia menjerit, sebab dia tidak pernah keluar kampung. Dia tidak pernah melihat orang asing. Jadi, dia mula fikir saya orang Rusia. Lalu dia menjerit dalam bahasanya sendiri dan saya bertanya kepada penterjemah dan dia katakan, “Adakah anda dari Rusia? Apa awak mahukan dari saya? Anda telah ambil segala-galanya daripada saya. Tolong, tolong, tolong tinggalkan saya sendiri. Saya mohon.” Dia dalam keadaan histeria.

Pada mulanya, mereka meragui kami. Tetapi selepas itu, mereka lihat sendiri kami datang membantu. Mereka mula percaya dan menerima kami. Sekarang mereka masak untuk kami dan panggil kami ‘malaikat.’ Mereka kata kami malaikat dari Singapura. Ramai daripada mereka tidak tahu tentang Singapura.

Pernah tak anda rasa nyawa anda terancam ketika melakukan kerja-kerja kemanusiaan?

Bao Yan: Kami sangat terpanggil dan yakin tentang perkara yang kami lakukan. Namun kadangkala, sebagai manusia, sebelum perjalanan, kami lakukan beberapa perkara radikal. Contohnya, kami menulis wasiat dan mengucapkan selamat tinggal kepada rakan dan keluarga. Apabila kami berada di sana, bunyi bom setiap minit. Ia tidak henti-henti. Ada juga dron dari Rusia.
Bagi Rudy, anda pernah melalui pengalaman di mana anda hampir dibunuh?

Rudy Taslim: Bercakap tentang bom, setiap lelaki di Singapura yang menjalani BMT pasti punya sedikit pengalaman. Tetapi apabila anda berada di sana, ia sangat berbeza. Saya ingat pada suatu saat kami melewati sebuah hutan. Waktu saya mahu masuk ke hutan. Ada seseorang menarik kolar baju saya secara paksa dan saya terperanjat. Jadi setelah itu teman saya menunjukkan bahawa ada satu isyarat kecil sekali ditulis ‘periuk api’. Jadi hutan itu sudah menjadi periuk api. Sangat bahaya. Saya benar benar terperanjat kerana sebelum ini ia adalah tempat untuk anak-anak kecil bermain. Tapi kerana terjadinya perang ini, ia menjadi tempat yang sangat bahaya.

MEMPERINGATI SETAHUN PERANG UKRAINE

14,059 korban jiwa
135,800 rumah musnah
17.6 juta penduduk memerlukan bantuan kemanusiaan

Sumber: OHCHR

Rudy mempunyai lebih sedekad pengalaman sebagai arkitek. Kini beliau memiliki syarikat Genesis Architects.
Rudy mempunyai lebih sedekad pengalaman sebagai arkitek. Kini beliau memiliki syarikat Genesis Architects.
Rudy dan Bao Yan, anda berdua sebenarnya sudah lama membuat kerja-kerja kemanusiaan. Bagaimana minat terhadap misi kemanusiaan ini tercetus?

Rudy Taslim: Saya bekerja sebagai seorang arkitek di Singapura dan Australia. Saya bekerja untuk beberapa tahun melalui projek-projek komersil. Tapi saya merasakan ada satu aspek yang saya sangat cinta tetapi tidak dipenuhi melalui projek komersil iaitu menolong orang-orang yang tidak mampu. Untuk saya, seni bina itu bukan hanya mereka bangunan-bangunan yang sangat indah, tetapi ia adalah ruang selamat untuk orang menerima pertolongan. Melalui pengalaman, saya sangat ingin membantu orang-orang di negara lain yang boleh manfaat daripada projek infrastruktur saya.

Bagaimana minat terhadap membantu mereka yang memerlukan mengeratkan hubungan anda suami isteri?

Bao Yan: Kami berdua mempunyai pengalaman di Afrika dan kami sangat terkesan. Kami lihat kanak-kanak yang menghidap HIV, dan orang mati kelaparan. Saya tidak pernah melihat keadaan sebegitu di Singapura. Apabila anda bertemu dengan orang seperti ini, ia menyentak anda. Kami berdua rasa belas kasihan. Lebih penting lagi, kami berdua berkongsi keinginan yang sama untuk melakukan sesuatu yang memberikan impak.

ANTARA PROJEK KEMANUSIAAN RUDY TASLIM & BAO YAN

Mozambique:

Kerja kemanusiaan pertama pada 2013.
Bina universiti Afrika pertama menghadap laut Congo dan sekolah rendah.

Rwanda:
Program memberi lembu & kambing.
Bina rumah sakit, rumah untuk kanak-kanak buta dan kurang upaya.
Saluran bantu mangsa perang Ukraine www.LoveOnUkraine.com
Rudy, menyentuh tentang gempa di Turki dan juga di Syria. Banyak rumah dan juga bangunan musnah dan ramai orang juga terperangkap di bawah runtuhan. Jadi dari aspek seni bina apakah ini boleh diatasi?

Rudy Taslim: Tragedi ini sangat malang tetapi kebanyakan waktu bencana alam tidak boleh dijangka. Saya percaya melalui ini mereka boleh berinovasi dan mula membina bangunan yang akan lebih tahan gempa seperti di negara Jepun. Bangunan-bangunan tingginya memakai struktur dan sistem yang tahan gempa.

Apa antara cabaran terbesar yang anda jangkakan apabila Turki dan Syria dibangun semula?

Rudy Taslim: Cabaran-cabaran yang mereka akan mengalami akan sama dengan cabaran yang kami mengalami di Ukraine iaitu kelangsungan pertolongan dari negeri luar masuk ke dalam Turki dan Syria. Pertolongan ini harus dikoordinasi dan dilaksanakan.

MISI KEMANUSIAAN: MEMBAWA MAKNA & HARAPAN

Apa refleksi anda sebagai suami isteri terutama setelah melihat sendiri kesengsaraan ini bersama?

Bao Yan: Dalam masa-masa kebimbangan, kesedihan, dan tidak berdaya ini, kami lakukan bersama. Jadi ia mengukuhkan ikatan kami. Kadangkala kami berkongsi dengan orang lain. Tidak semua orang faham, atau dapat bayangkan. Ada juga sesetengah orang yang bertanya, kenapa awak peduli? Saya punya dua reaksi. Kadangkala ia juga sikap mereka. Kenapa awak peduli? Kadangkala mereka buat kita fikir seperti kita ini bodoh. Saya fikir kita harus menjauhi perbualan seperti itu. Namun, ada juga yang benar-benar prihatin. Ia adalah satu panggilan, minat. Kami berdua berkongsi matlamat dan nilai yang sama.

Rudy Taslim: Seperti apa yang dikongsi isteri saya, kita mesti belajar untuk lindungi hati kerana saya tahu bukan semua orang akan setuju dengan apa yang kami buat. Tapi ini adalah panggilan kami. Ya, kami merasa kami boleh membawa satu Harapan.

Selama pengalaman lebih sedekad anda sebagai seorang arkitek, anda telah membina banyak bangunan-bangunan mewah dan juga bangunan-bangunan komersil. Tentunya membina bangunan ataupun rumah untuk mangsa perang ini berbeza. Jadi apa prinsip yang anda terapkan sebagai seorang arkitek?

Rudy Taslim: Prinsip-prinsip tidak berubah. Sebagai arkitek, kami mereka ruang dan juga bangunan yang mesti sesuai dengan tujuan yang kami mahukan. Bagi projek-projek kami di Ukraine, kami mesti sensitif kepada waktu dan kepada kos serta mesti peka terhadap konteks budaya dan iklim.
Rudy Taslim & Bao Yan
Jadi, anda yakin bahawa seni bina ini ada kuasa tansformatif?

Rudy Taslim: Semua yang kami lakukan di Ukraine itu harus mencapai objektif utama iaitu memaksimumkan impak, selain dari membinakan rumah-rumah. Kami juga ada objektif lain iaitu kami ingin memberi pekerjaan melalui projek-projek ini.

Jadi seni bina ini, ia lebih dari estetik sahaja iaitu fungsinya adalah untuk menghuraikan masalah?

Rudy Taslim: Kalau saya boleh pinjam istilah seni bina kemanusiaan. Keutamaannya, semua berbeza, keutamaannya adalah kemanusiaan. Keutamaan kemanusiaan lebih daripada seni bina. Kami harus mengerti keperluan mereka. Kebanyakan waktu bukan sekadar membina sebuah rumah atau struktur yang estetik, bagus dan mewah tapi yang boleh menolong mereka mengharungi masa sulit ini.

Saluran bantu mangsa perang Ukraine www.LoveOnUkraine.com

Sepanjang kerja kemanusiaan anda, apa yang membuat anda rasa paling puas hati atau memberi anda satu kepuasan?

Rudy Taslim: Saya merasa rendah hati kerana kami orang biasa. Tapi waktu kami pergi ke tempat seperti itu, ia membawa satu kepercayaan bahawa satu hari nanti, apa yang kami buat sekarang itu akan menolong mereka dan akan merubah masa depan mereka.

Di sebalik kritikan seperti ‘mengapa anda peduli’, apa yang paling memuaskan tentang misi kemanusiaan ini?

Bao Yan: Saya sedar bahawa tidak semua orang akan faham. Jika anda percaya tentang sesuatu, lakukannya dengan sepenuh hati. Apabila saya melihat wanita tua, mereka yang tidak berdaya, mereka yang ditinggalkan, bayi yang dilahirkan dan kini mempunyai tempat perlindungan yang selamat. Saya sedar apa yang kami lakukan ini adalah soal hidup dan mati.

Apa nasihat yang anda akan berikan pada mereka yang mahu giat dalam misi kemanusiaan ini?

Rudy Taslim: Ada tempat untuk semua orang, tidak kira pertubuhan besar atau individu bersama. Secara kolektif, kita benar-benar boleh melakukan banyak perkara atas dasar nama kemanusiaan.

Bao Yan: Sesetengah orang berfikir bahawa oh terlalu besar, atau terlalu banyak untuk dilakukan, tetapi sebenarnya jika anda memberi ruang dalam hati untuk satu orang pada satu masa, ia akan berkembang menjadi masyarakat kecil dan kemudian lebih besar.
Anda sudah ke Ukraine sebanyak empat kali ulang alik ke Ukraine. Apa rancangan masa depan bagi anda berdua dalam misi kemanusiaan ini?

Bao Yan: Kami mempunyai sebuah pasukan kecil. Jadi kami bawa pasukan kami dan kami cuba ulang-alik setiap dua bulan dan setiap kali kami pergi, kami tinggal selama beberapa minggu. Oleh itu, kami ingin membantu seramai mungkin warga Ukraine.

Rudy Taslim: Kami sebenarnya telah diberikan visa sementara. Dengan itu, kami dapat masuk dengan lebih kerap. Kami boleh tinggal lebih lama untuk membuat susulan pada kerja-kerja yang kami lakukan dan juga untuk memulakan lebih banyak projek di lapangan.

Sempena memperingati setahun perang Ukraine ini, apa harapan anda?

Bao Yan: Saya sangat berharap perang akan berakhir tidak lama lagi dan kehidupan akan pulih dan diperbaharui. Selain membina lebih banyak rumah, kami juga mengadakan projek yang dipanggil ‘The Lighthouse’ kerana keadaan gelap sekarang di banyak tempat dan tidak mempunyai bekalan elektrik. Jadi kami membawa masuk penjana dari Eropah ke tempat seperti rumah anak yatim, hospital untuk menghidupkan kuasa supaya ia boleh beroperasi.

Rudy Taslim: Keperluan di dalam Ukraine tetap besar. Kami mahu perang segera tamat supaya orang ramai boleh mula membina semula kehidupan mereka kerana mereka telah banyak menderita. Dan pembinaan semula hanya boleh berlaku apabila perang ini berakhir.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan