Skip to main content

Dunia

1 tahun Kerajaan Perpaduan: Kemajuan dan kestabilan dicapai; sokongan Melayu kekal cabaran besar

Anggaran Waktu Membaca:
1 tahun Kerajaan Perpaduan: Kemajuan dan kestabilan dicapai; sokongan Melayu kekal cabaran besar

Pengerusi GRS Hajiji Noor, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, Perdana Menteri Malaysia dan Pengerusi PH Anwar Ibrahim, Pengerusi GPS Abang Johari Openg, dan Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal semasa acara memeterai perjanjian persefahaman kerjasama di bawah Kerajaan Perpaduan pada 16 Dis 2022. (Gambar: Jabatan Perdana Menteri Malaysia/BERNAMA)

PUTRAJAYA: Kerajaan Perpaduan Malaysia pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim meraikan ulang tahun pertama pentadbirannya pada hujung minggu ini.

Para pengamat berkata kerajaan Madani itu sudah mencatat kemajuan khususnya dalam mencapai kestabilan serta mengemudi ekonomi negara itu.

Namun, tambah mereka, usaha masih perlu dipertingkat untuk menambat sokongan lebih ramai rakyat Malaysia.

SATU TAHUN KERAJAAN PERPADUAN

Satu kesepakatan politik yang mengejutkan ramai apabila banyak parti seteru membentuk Kerajaan Perpaduan, sekali gus menyaksikan Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Setahun kini, para pengamat politik berkata hubungan dalam Kerajaan Perpaduan dianggap positif dengan barisan kabinet kelihatan bersatu dan kohesif.

Pengarah BowerGroup Asia, Adib Zalkapli berkata: "Bandingkannya dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang pertama pada 2018.

"Saya fikir masa itu ada banyak pertikaian awam terhadap isu-isu asas yang akhirnya menumbangkan kerajaan PH."

Kerajaan Madani PM Anwar juga menerajui Putrajaya di tengah-tengah ekonomi global yang mencabar.

Dengan para pelabur berasa kurang yakin, menghidupkan kembali ekonomi menjadi keutamaan, manakala kos sara hidup pula meningkat dengan pantas.

Lantaran itu, terdapat desakan untuk menarik pelabur asing secara aktif.

Malaysia juga melancarkan satu siri pelan perindustrian dan hala tuju dasar yang bertujuan mengemudi negara berkenaan ke masa depan lebih kukuh.

Dalam pada itu, keutuhan politik kerajaan Madani PM Anwar turut diuji pada Ogos lalu apabila Pilihan Raya Negeri diadakan di enam negeri.

Meski keputusannya kekal status quo, antara hasil yang jelas adalah kemerosotan ketara sokongan daripada pengundi Melayu.

Pengamat Sains Politik Universiti Sunway Wong Chin Huat menjelaskan: "Walaupun mereka menunjukkan prestasi baik, pihak pembangkang ada pelbagai cara untuk memaksa pengundi Melayu untuk bertanya - 'Adakah anda mahu memilih kerajaan didominasi Melayu atau kerajaan Melayu yang kecil tetapi berbilang kaum?'.

"Jadi isu berbilang kaum ini boleh menjadi kelemahan dalam politik Melayu."

Dalam satu temu bual sempena setahun memimpin Malaysia, PM Anwar menolak tuduhan bahawa pentadbiran beliau tidak cukup unsur Melayu atau Islam.

Walaupun rating sokongan kerajaan Madani jatuh daripada 54 peratus kepada 41 peratus dalam masa setahun, PM Anwar menekankan bahawa tempoh setahun merupakan masa yang terlalu singkat untuk menilai pentadbiran beliau.

Tambah beliau, para menteri juga perlu diberi peluang untuk memperbaiki serta meningkatkan prestasi mereka.

Sungguhpun begitu, beliau tidak menolak tepi keperluan untuk merubah barisan kabinet jika situasi semasa memerlukannya.
Sumber : CNA/RU/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita