Skip to main content

Dunia

1 maut, ribuan penduduk terputus bekalan elektrik akibat banjir di New Zealand

Hujan lebat dan angin kencang membadai New Zealand dalam beberapa hari kebelakangan ini, menyebabkan satu orang maut dan beberapa kawasan dilanda banjir.
Anggaran Waktu Membaca:
1 maut, ribuan penduduk terputus bekalan elektrik akibat banjir di New Zealand

Seorang lelaki mengambil semula peralatannya dari kenderaan utiliti yang terjunam dari bahagian jalan yang runtuh berikutan hujan lebat dan angin kencang di Puketotara, wilayah Waikato, New Zealand pada 14 Feb 2026. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 17 Feb 2026 05:12PM Dikemas Kini : 17 Feb 2026 05:13PM
WELLINGTON: Hujan lebat dan angin kencang membadai New Zealand dalam beberapa hari kebelakangan ini, menyebabkan satu orang maut dan beberapa kawasan dilanda banjir.

Ia juga mengakibatkan beberapa masyarakat terputus hubungan, menurut pihak berkuasa.

Ribut dahsyat yang berlaku sejak Jumaat (13 Feb) mendorong darurat diisytiharkan di North Island, di mana Majlis Daerah Waikato menyatakan hujan lebat itu menyebabkan banjir meluas.

Polis menyatakan seorang lelaki terkorban pada Jumaat selepas kereta yang dipandu terperangkap dalam banjir berhampiran Otorohanga di North Island.

Ribut itu turut melanda ibu kota Wellington pada Isnin (16 Feb) sebelum ia bergerak ke arah Christchurch di South Island pada Selasa.

Pengendali tenaga PowerCo menyatakan kira-kira 10,000 isi rumah terputus bekalan elektrik di North Island pada Selasa, manakala sebuah lagi syarikat elektrik, Orion, pula memaklumkan lebih 200 isi rumah terputus bekalan elektrik di Banks Peninsula di luar Christchurch.

Berhampiran Wellington, penempatan kecil, Lake Ferry, di Wairarapa terputus hubungan selepas satu-satunya jalan ke bandar itu dinaiki air.

Penyiar tempatan di New Zealand, RNZ melaporkan para penduduk membentuk rantai manusia untuk menghantar bekalan merentasi jambatan yang dinaiki air.

Bandar Akaroa di luar Christchurch juga terputus hubungan pada Selasa disebabkan banjir dan keadaan licin pada lebuh raya menghala ke arahnya, menurut Agensi Pengangkutan New Zealand.

Agensi meteorologi kebangsaan MetService menyatakan angin kencang yang melanda Wellington pada Isnin merupakan yang paling dahsyat sejak 2013.

Angin sekencang 193 kilometer sejam dicatatkan di bandar itu, menurut MetService.
Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita