1 maut dalam nahas 3 lori
Seorang pemandu lori tangki maut dan seorang cedera dalam kemalangan membabitkan tiga buah lori di Kilometer 254.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Plaza Tol Senawang, pada Rabu (21 Nov).

Gambar fail kereta polis Malaysia. (Gambar: MANAN VATSYAYANA/AFP)
SEREMBAN: Seorang pemandu lori tangki maut dan seorang cedera dalam kemalangan membabitkan tiga buah lori di Kilometer 254.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Plaza Tol Senawang, pada Rabu (21 Nov).
Ketika kejadian pada jam 5.46 pagi itu, pemandu lori tangki Encik Mohd Umar Redaman, 48 tahun, dari Kajang, Selangor, meninggal dunia di tempat kejadian. Beliau dipercayai membawa muatan lateks.
Pemandu treler yang membawa muatan kayu, Encik Asuan Taib, 30 tahun, cedera di bahagian kepala dan badan manakala pemandu lori tangki air dan kelindan tidak mengalami kecederaan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan, Supt Ibrahim Mohd Abdul Kadir berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila lori tangki air dalam perjalanan dari Senawang menuju perhentian sebelah Senawang dirempuh dari belakang oleh lori tangki yang dipandu oleh Encik Mohd Umar di lorong kiri.
Selepas insiden itu, katanya, lori tangki air dialihkan ke lorong kecemasaan manakala lori tangki yang melanggarnya masih berada di lorong kiri sebelum dirempuh oleh sebuah treler yang membawa muatan kayu.
Rempuhan itu menyebabkan treler itu terbalik dan melintang di tengah jalan, katanya.
Kejadian itu menyebabkan kesesakan teruk selama hampir dua jam apabila laluan dari Senawang ke Pedas Linggi itu terpaksa ditutup sepenuhnya.
Laluan lebuh raya di kawasan kemalangan itu dibuka selepas jam 9.00 pagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.