Skip to main content

Dunia

1 maut dalam gempa kuat selatan Filipina; amaran tsunami ditarik balik

Anggaran Waktu Membaca:
1 maut dalam gempa kuat selatan Filipina; amaran tsunami ditarik balik

Gambar edaran yang diambil dan diterima pada 10 Oktober 2025 ini menunjukkan para pelajar membantu rakan mereka selepas gempa bumi di Davao de Oro, Mindanao. (Gambar: Edaran melalui Golden Cornucopia - Kolej Negeri Davao de Oro/AFP)

Diterbitkan : 10 Oct 2025 11:36AM Dikemas Kini : 10 Oct 2025 03:00PM
DAVAO: Gempa bumi kuat berukuran 7.4 melanda luar pesisir selatan Filipina pada Jumaat (10 Okt), menyebabkan sekurang-kurangnya seorang maut dan mencetuskan amaran tsunami serantau, yang kini sudah ditarik balik.

Gempa itu berlaku kira-kira 20 kilometer (km) dari Manay di wilayah Mindanao pada pukul 9.43 pagi menurut Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Seorang mangsa meninggal dunia apabila sebuah tembok runtuh di bandar Mati, iaitu hab terbesar penduduk berhampiran pusat gempa, kata polis.

Pihak berkuasa Filipina mengeluarkan amaran tsunami dan mengarahkan pemindahan masyarakat di kawasan pantai di timur negara itu, yang dianggap berisiko terkena gelombang setinggi sehingga tiga meter.

Namun, Pusat Amaran Tsunami Pasifik menarik balik amaran untuk Filipina, Palau dan Indonesia sekitar tengah hari, dengan mengatakan "tiada lagi ancaman tsunami daripada gempa bumi ini."

Wes Caasi, seorang pegawai tempatan di bandar Tagum, barat laut Manay, memberitahu AFP bahawa acara pemerintah di dewan bandar menjadi huru-hara apabila "orang ramai panik, menjerit dan berlari."

Sambil mengesahkan video yang tersebar di media sosial, Encik Caasi berkata beliau melihat pekerja bandar bergegas turun dari pokok Krismas logam setinggi 202 meter yang sedang dihiasi mereka semasa gempa berlaku.

Saksi lain berkata mereka melihat pelajar dan pekerja berlari keluar dari sekolah, bangunan pejabat dan pusat beli-belah.

Setakat ini, gegaran tersebut menyebabkan kerosakan kecil dan terpencil, menurut saksi.

Dianne Lacorda, seorang pegawai polis di wilayah Davao Oriental, memberitahu AFP bahawa talian elektrik dan komunikasi terputus, dan pihak berkuasa sedang berusaha menilai kerosakan di beberapa kawasan.

Pemerintah wilayah memaklumkan di Facebook bahawa kelas digantung "sehingga notis lanjut" dan pekerja awam turut dihantar pulang.

GEGARAN KUAT

Christine Sierte, seorang guru di bandar Compostela berhampiran Manay, memberitahu AFP beliau sedang menghadiri mesyuarat online apabila gegaran kuat bermula.

"Pada mulanya sangat perlahan, kemudian semakin kuat.... Itu adalah masa paling lama dalam hidup saya. Kami tidak dapat keluar dari bangunan dengan segera kerana gegaran sangat kuat," katanya.

"Siling beberapa pejabat jatuh, tetapi mujur tiada siapa yang cedera," tambahnya, sambil berkata beberapa daripada kira-kira 1,000 pelajar sekolah itu "mengalami serangan panik dan kesukaran bernafas."

Kath Cortez, seorang wartawan tempatan yang berpangkalan di bandar Davao, barat Manay, memberitahu AFP bahawa terdapat keretakan kecil pada dinding tingkat bawah rumah keluarganya.

"Saya terkejut dengan kekuatan gempa itu," katanya, sambil menambah ahli keluarganya berlari keluar dari rumah.

Pada masa yang hampir sama dengan gempa di Filipina, USGS melaporkan gegaran cetek berukuran 6.2 kira-kira 140 kilometer tenggara Pulau Manus di Papua New Guinea.

Satu lagi gempa berlaku pada Selasa berhampiran bandar kedua terbesar Papua New Guinea, Lae. Tiada kerosakan besar dilaporkan.

Gempa bumi terbaharu di Filipina berlaku 11 hari selepas gempa berukuran 6.9 yang mengorbankan 74 orang dan memusnahkan atau merosakkan sekitar 72,000 rumah di pulau tengah Cebu.

Gempa bumi berlaku hampir setiap hari di Filipina, yang terletak di Lingkaran Gunung Berapi Pasifik, di mana seismik kuat kerap berlaku yang meliputi Jepun, Asia Tenggara dan seluruh kawasan Lautan Pasifik.
Sumber : Reuters/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita