1 maut, 7 cedera selepas enjin pesawat Southwest Airlines meletup
Seorang penumpang maut manakala tujuh yang lain mengalami kecederaan selepas enjin sebuah pesawat Amerika Syarikat dilaporkan meletup semasa di udara semalam (17 Apr).
Gambar: Marty Martinez/Facebook
PHILADELPHIA: Seorang penumpang maut manakala tujuh yang lain mengalami kecederaan selepas enjin sebuah pesawat Amerika Syarikat dilaporkan meletup semasa di udara semalam (17 Apr).
Pesawat Southwest Airlines 1380 itu terpaksa melakukan pendaratan cemas di Philadelphia selepas tingkap bahagian sayap dan badan pesawat mengalami kerosakan akibat insiden tersebut, menurut seorang pegawai.
Dalam satu rakaman daripada pusat kawalan udara, salah seorang juruterbang kedengaran berkata bahawa pesawat itu berlubang dan seorang terkorban.
Kali terakhir berlakunya kes kematian yang membabitkan penumpang dalam pesawat komersil Amerika Syarikat adalah pada 2009.
Dalam insiden itu, pesawat Boeing 737-700 dilaporkan dalam penerbangan ke Dallas, Texas dari Lapangan Terbang La Guardia di New York dan membawa 143 penumpang serta lima anak kapal.
Menurut saksi, seorang penumpang wanita disedut keluar melalui tingkap pesawat semasa insiden itu tetapi beliau berjaya diselamatkan oleh beberapa penumpang lain.
Menurut pegawai bomba, pesawat tersebut mendarat dengan selamat pada 11.20 pagi waktu tempatan.
Jabatan Pentadbiran Persekutuan Penerbangan Amerika Syarikat sedang menjalankan siasatan ekoran insiden itu.
Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) pula menyatakan bahawa badan tersebut juga sedia maklum tentang insiden berkenaan.
Pengerusinya Robert Sumwalt berkata bahawa enjin pesawat, CFM56, sering digunakan sebagai pesawat komersil.
Menurut Balai Bomba Philadelphia, seorang penumpang dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal manakala tujuh lagi menerima rawatan di tempat insiden.
Ketua Pesuruhjaya Bomba Philadelphia, Adam Thiel berkata, anggota bomba mendapati kebocoran pada bahagian enjin pesawat itu yang turut menyebabkan kebakaran.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.