Skip to main content

Dunia

1 maut, 4 cedera dalam insiden tembakan di pusat bandar Washington: Polis

Anggaran Waktu Membaca:
  1 maut, 4 cedera dalam insiden tembakan di pusat bandar Washington: Polis

Anggota penguat kuasa tempatan bertindak balas terhadap laporan kejadian tembakan yang sedang disiasat di Washington pada Khamis, 12 November 2026. (Gambar: AP/Julia Demaree Nikhinson)

Diterbitkan : 13 Nov 2026 06:32AM

WASHINGTON: Seorang lelaki bersenjata menembak mati seorang individu dan mencederakan empat yang lain di sebuah kawasan kediaman mewah di pusat bandar Washington pada Khamis (12 Nov), sebelum mengurung diri di dalam apartmennya dan membunuh diri, menurut polis.

Kejadian tembakan yang berlaku kira-kira 1.6 kilometer ke utara Rumah Putih itu mencetuskan operasi besar-besaran pihak berkuasa di ibu negara Amerika Syarikat.

Puluhan kenderaan penguat kuasa undang-undang dikerahkan ke lokasi kejadian, manakala helikopter polis turut berlegar-legar di ruang udara kawasan tersebut.

Pemangku Ketua Polis Washington, Jeffery Carroll, memberitahu wartawan bahawa suspek menembak mati seorang individu di sebuah pusat kecergasan yang bersambung dengan bangunan apartmennya, selain mencederakan empat yang lain, sebelum mengurung diri di dalam unit kediamannya.

Menurut Encik Carroll lagi, suspek melepaskan sekurang-kurangnya dua das tembakan ke arah anggota polis melalui pintu apartmennya sebelum menembak dirinya sendiri.

Polis mengesahkan suspek meninggal dunia di tempat kejadian.

Encik Carroll berkata, suspek yang belum dikenal pasti identitinya dipercayai mempunyai pertikaian dengan persatuan pemilik kediaman di bangunan apartmen tersebut, yang terletak di kawasan Logan Circle, Washington.

Daripada empat mangsa yang cedera, seorang dilaporkan berada dalam keadaan kritikal, manakala kecederaan tiga yang lain dipercayai tidak mengancam nyawa.

Datuk Bandar Washington, Muriel Bowser, mengecam kejadian itu sebagai "tindakan keganasan bersenjata yang tidak masuk akal" dan berkata pihak Rumah Putih sudah dimaklumkan mengenai insiden tersebut.

Kejadian berlaku ketika waktu sibuk pada sebelah pagi, menyebabkan kesesakan lalu lintas selepas polis menutup beberapa jalan di sekitar kawasan berkenaan.

Sebahagian penduduk diarahkan berpindah oleh polis, manakala yang lain diminta berlindung di dalam kediaman masing-masing.

Akhbar Washington Sun memetik seorang ahli gimnasium VIDA Fitness sebagai berkata beliau sedang berlari di atas mesin larian ketika tembakan bermula.

Michael Carney berkata beliau terdengar bunyi letupan kecil sebelum melihat seorang individu terbaring di lantai gimnasium akibat ditembak di kepala.

"Semua orang cuba bersembunyi di belakang pasu tanaman dan apa sahaja yang ada di situ," kata Encik Carney kepada akhbar tersebut.

Logan Circle merupakan antara kawasan kediaman paling mahal di Washington dan terkenal dengan restoran mewah serta pusat hiburan malam.

Kawasan itu juga terletak tidak jauh dari lokasi yang menempatkan banyak kedutaan asing.

Sumber : AFP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita