1 maut, 38 cedera dalam bantahan di Jakarta
Penunjuk perasaan bertindak balas ketika mereka bertembung dengan polis rusuhan dalam bantahan di hadapan bangunan Parlimen Indonesia di Jakarta. (Gambar: Reuters)
Mangsa yang maut dikenali sebagai Affan Kurniawan, seorang penunggang motosikal khidmat penghantaran, yang dilaporkan meninggal dunia akibat dilanggar kenderaan taktikal milik Pasukan Briged Mobil Polis Republik Indonesia
(Brimob Polri).
Gabenor Jakarta Pramono Anung berkata, pihak berkuasa akan memberikan bantuan penuh kepada keluarga almarhum termasuk pengurusan jenazah sehingga ke proses pengebumian.
“Kami memberikan komitmen untuk membantu sepenuhnya agar keluarga tidak terbeban. Pengurusan jenazah dan pengebumian akan dikendalikan dengan sebaik-baiknya,” katanya dalam kenyataan rasmi pada Jumaat (29 Ogos).
Beliau turut memaklumkan, segala kos rawatan mangsa yang cedera akan ditanggung sepenuhnya.
"Antara hospital yang merawat mangsa-mangsa termasuk Hospital Cipto Mangunkusumo (RSCM), Hospital Pelni, Hospital Pertamina Pusat (RSPP), Hospital Bhakti Mulia, Hospital Budi Kemuliaan, Hospital Patria IKKT, Hospital Angkatan Laut Mintohardjo, Hospital Eka Permata Hijau, Hospital Umum Daerah Tarakan dan Hospital Khusus Daerah Duren Sawit," katanya.
Almarhum Affan dikebumikan di Tanah Perkuburan Umum (TPU) Karet Bivak, Jakarta Pusat, dengan diiringi kira-kira 1,000 penunggang motosikal khidmat penghantaran pada Jumaat.
Sementara itu, suasana tegang masih dilaporkan di sekitar Markas Komando (Mako) Brimob Kwitang, Jakarta Pusat, apabila ratusan orang berkumpul sejak Khamis malam, lapor Astro AWANI.
Pasukan polis bertindak melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan keadaan.
Encik Pramono dalam pada itu menyeru semua pihak agar bertenang dan menjaga keamanan ibu kota Indonesia itu.
“Kami berharap semua pihak dapat menahan diri dan mengutamakan penyelesaian dengan cara damai. Jakarta adalah rumah kita bersama, dan kita harus menjaganya agar tetap harmoni dan tertib,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.