Skip to main content

Dunia

1 maut, 207 jatuh sakit akibat salmonela di Britain

Seorang maut manakala 207 lagi jatuh sakit akibat salmonela di Britain yang dipercayai berpunca daripada makanan yang menggunakan telur import, menurut Agensi Keselamatan Kesihatan Britain (UKHSA) pada Selasa (18 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
1 maut, 207 jatuh sakit akibat salmonela di Britain

Salmonela boleh dikesan pada pelbagai sumber makanan termasuk ayam, daging dan telur mentah atau yang tidak dimasak dengan sempurna. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 19 Aug 2026 12:01PM
LONDON: Seorang maut manakala 207 lagi jatuh sakit akibat salmonela di Britain yang dipercayai berpunca daripada makanan yang menggunakan telur import, menurut Agensi Keselamatan Kesihatan Britain (UKHSA) pada Selasa (18 Ogos).

UKHSA dalam perkembangan terbaharu memaklumkan, siasatan dilancarkan selepas peningkatan kes salmonela dikesan pada Mei, membabitkan satu strain yang dikenal pasti menerusi penjujukan genom keseluruhan (WGS), lapor Anadolu Ajansi.

Menurut agensi tersebut, sebanyak 207 kes disahkan antara 11 Ogos 2025 hingga 1 Ogos 2026, dengan 206 daripadanya dilaporkan pada 2026.

Kesemua kes dikenal pasti dalam kelompok yang dikaitkan dengan lima polimorfisme nukleotida tunggal (SNP) yang sama berdasarkan WGS, menunjukkan kemungkinan bahawa ia berpunca daripada sumber pencemaran yang sama.

Daripada jumlah tersebut, 199 kes dilaporkan di England termasuk 47 di London dan 38 di Yorkshire dan Humber.

Mereka yang terjejas terdiri daripada bayi hingga individu berusia 90 tahun, dengan lebih sepertiga memerlukan rawatan di hospital.

Bagaimanapun, UKHSA memaklumkan, kebanyakan pesakit pulih tanpa memerlukan rawatan.

“Kami bekerjasama dengan Agensi Piawaian Makanan dan agensi kesihatan awam lain untuk menyiasat wabak salmonela yang mungkin dikaitkan dengan telur import dari luar Britain,” kata pakar epidemiologi utama bagi jangkitan gastrousus UKHSA, Hannah Charles.

Salmonela boleh dikesan pada pelbagai sumber makanan termasuk ayam, daging dan telur mentah atau yang tidak dimasak dengan sempurna.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita