Skip to main content

Dunia

1 maut, 17 hilang sedang banjir di Nepal musnahkan jambatan sempadan dengan China

Banjir yang dicetuskan oleh hujan lebat di Nepal pada Selasa (8 Jul) melanda lembah gunung Himalaya, menghanyutkan 18 orang dan memusnahkan jambatan sempadan penting dengan China, kata seorang pegawai pemerintah.

Anggaran Waktu Membaca:
1 maut, 17 hilang sedang banjir di Nepal musnahkan jambatan sempadan dengan China

Orang ramai menyaksikan kerosakan akibat banjir di Sungai Bhotekoshi, 120 kilometer dari utara Kathmandu pada 8 Julai 2025. (Gambar: AP/Tentera Nepal)

Diterbitkan : 08 Jul 2025 04:19PM Dikemas Kini : 08 Jul 2025 04:35PM
KATHMANDU: Banjir yang dicetuskan oleh hujan lebat di Nepal pada Selasa (8 Jul) melanda lembah gunung Himalaya, menghanyutkan 18 orang dan memusnahkan jambatan sempadan penting dengan China, kata seorang pegawai pemerintah.

Seorang individu disahkan meninggal dunia dan 17 yang lain disenaraikan sebagai hilang dalam banjir di Sungai Bhotekoshi, kata Arjun Paudel, ketua pegawai daerah Rasuwa.  

Banjir tersebut memusnahkan Jambatan Persahabatan di Rasuwagadi, yang terletak 120km di utara ibu negara, Kathmandu, pada awal pagi Selasa. Ia turut menghanyutkan beberapa rumah dan trak yang diletakkan di sempadan untuk pemeriksaan kastam. Beratus-ratus kenderaan elektrik yang diimport dari China juga diletakkan di pusat pemeriksaan sempadan itu.

Sebelas rakyat Nepal dan enam warga China antara yang hilang, menurut Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan Nepal. Polis menyatakan 95 anggota penyelamat sudah berada di kawasan itu dan lebih ramai dijangka menyertai usaha menyelamat. Sebuah helikopter tentera digunakan untuk menyelamatkan orang yang terkandas akibat banjir.  

Banjir dan tanah runtuh yang membawa maut adalah perkara biasa di seluruh Asia Selatan semasa musim monsun dari Jun hingga September, tetapi pakar mengatakan perubahan iklim semakin memburukkannya.

Pertubuhan Meteorologi Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tahun lalu menyatakan bahawa banjir dan kemarau yang semakin dahsyat adalah "isyarat kecemasan" tentang apa yang akan berlaku apabila perubahan iklim menjadikan kitaran air bumi ini semakin tidak menentu.

Pusat Antarabangsa bagi Pembangunan Gunung Bersepadu (ICIMOD) yang berpangkalan di Kathmandu memberi amaran pada bulan Jun bahawa masyarakat berdepan risiko bencana yang lebih tinggi pada musim monsun ini.

"Kenaikan suhu dan hujan yang lebih ekstrem meningkatkan risiko bencana yang disebabkan oleh air seperti banjir, tanah runtuh, dan aliran puing," menurut ICIMOD.
Sumber : Agensi berita/NK/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita