Skip to main content

Dunia

1 mati, 3 cedera serangan di rumah ibadah Yahudi

Seorang lelaki bersenjata memasuki saumaah (rumah ibadah Yahudi) di San Diego yang penuh sesak dengan jemaah pada Sabtu (27 Apr) dan melepaskan tembakan rambang menggunakan senapang penggempur, membunuh seorang wanita dan mencederakan tiga yang lain dalam satu jenayah kebencian..

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 28 Apr 2019 04:28PM Dikemas Kini : 29 Apr 2019 01:54AM

CALIFORNIA: Seorang lelaki bersenjata memasuki saumaah (rumah ibadah Yahudi) di San Diego yang penuh sesak dengan jemaah pada Sabtu (27 Apr) dan melepaskan tembakan rambang menggunakan senapang penggempur, membunuh seorang wanita dan mencederakan tiga yang lain dalam satu jenayah kebencian, menurut pihak berkuasa.

Suspek, seorang lelaki kulit putih berusia 19 tahun yang identitinya belum didedahkan, melarikan diri dari tempat kejadian dengan menaiki kereta dan ditangkap tidak lama kemudian apabila dia dihenti dan menyerah diri kepada polis, menurut pihak berkuasa dalam satu sidang media.

Serangan bersenjata di bandar Poway, California, itu berlaku genap enam bulan selepas serangan di sebuah kuil Yahudi di Pittsburgh yang menyebabkan 11 maut dan enam lagi cedera.

Penyerang dalam serangan itu berjaya ditangkap.

Insiden pada Sabtu itu menyusuli beberapa serangan maut di rumah-rumah ibadah serata dunia. Pengeboman nekad semasa Ahad Hari Easter di beberapa gereja di Sri Lanka membunuh lebih 250 orang. Beberapa minggu sebelum itu, seorang penyerang menembak mati 50 jemaah dan mencederakan lebih 40 di dua masjid di New Zealand, sebilangannya ditembak sedang mereka bersujud.

Datuk Bandar Poway Steve Vaus, menyifatkan serangan terbaru itu sebagai "jenayah kebencian", sambil berkata penilaian yang dibuatnya itu berdasarkan apa yang diucapkan penyerang ketika memasuki saumaah berkenaan.

Tiada butiran lain didedahkan berhubung motif serangan. Namun Sherif daerah San Diego Bill Gore berkata para penyiasat sedang menyemak semua catatan media sosial suspek serta "surat terbuka", yang diterbitkan dalam internet membayangkan penyerang itu mungkin meninggalkan manifesto tertulis.

Sementara itu Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ketika menjawab para wartawan berkata: "Saya amat bersimpati kepada mereka yang terjejas." Beliau menambah "kejadian itu kelihatan seperti jenayah kebencian" dan pihak berkuasa akan "menyiasatnya dengan teliti". 

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita