Skip to main content

Dunia

1 kelompok penyakit batuk kering dikesan di Kota Tinggi; 804 disaring, 33 positif jangkitan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan satu kelompok jangkitan batuk kering (Tuberculosis) dikesan di Kota Tinggi pada 25 Januari lalu dengan sebanyak 33 kes positif dikesan hasil saringan ke atas 804 kontak rapat setakat 4 Feb.
Anggaran Waktu Membaca:
1 kelompok penyakit batuk kering dikesan di Kota Tinggi; 804 disaring, 33 positif jangkitan
Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad. (Gambar: BERNAMA)
Diterbitkan : 05 Feb 2026 09:39AM Dikemas Kini : 05 Feb 2026 09:40AM
JOHOR BAHRU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan satu kelompok jangkitan batuk kering (Tuberculosis) dikesan di Kota Tinggi pada 25 Januari lalu dengan sebanyak 33 kes positif dikesan hasil saringan ke atas 804 kontak rapat setakat 4 Feb.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata pasukan KKM kini berada di lapangan dan sedang mengambil tindakan agresif bagi membendung penularan wabak berkenaan.

"Kesemua pesakit yang dikesan positif telah menerima rawatan dan sedang dipantau rapi oleh pihak KKM," katanya menerusi catatan di laman X pada lewat Rabu malam (4 Feb).

Dr Dzulkefly berkata satu kematian dilaporkan dalam kelompok berkenaan, namun mengesahkan ia bukan disebabkan oleh jangkitan tersebut.

Beliau berkata KKM kini berada dalam kesiapsiagaan tinggi, dengan tindakan pengesanan kes secara aktif akan diteruskan bagi memastikan keselamatan masyarakat setempat.

Dr Dzulkefly berkata penduduk sekitar yang mengalami simptom seperti batuk berpanjangan, demam atau berpeluh pada waktu malam diminta supaya segera menjalani saringan kesihatan dan tidak menunggu sehingga keadaan menjadi lebih serius.

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan berita palsu yang boleh mencetuskan panik.

Penyakit batuk kering atau tuberculosis merupakan penyakit berjangkit yang berpunca daripada Mycobacterium tuberculosis yang merebak melalui udara kepada kontak rapat yang berdekatan.

Gejala penyakit itu termasuklah batuk berpanjangan, hilang berat badan yang ketara, hilang selera makan, berpeluh pada waktu malam dan batuk berdarah.

Penyakit batuk kering boleh dicegah dan sembuh sepenuhnya melalui rawatan yang berkesan dengan tempoh rawatan minimum selama enam bulan.
Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita