Skip to main content

Dunia

1 daripada setiap 6 orang dewasa Malaysia hidap kencing manis

Jagaan utama penting bagi membendung kes-kes penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis di Malaysia.

Anggaran Waktu Membaca:
1 daripada setiap 6 orang dewasa Malaysia hidap kencing manis

Gambar hiasan: Pexels

Diterbitkan : 05 Dec 2024 07:50AM Dikemas Kini : 05 Dec 2024 07:53AM
KUALA LUMPUR: Jagaan utama penting bagi membendung kes-kes penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis di Malaysia.

Demikian menurut Kementerian Kesihatan Malaysia pada Selasa (3 Nov), seperti dipetik The Star.

Jagaan utama merupakan titik pertama untuk mengesan penyakit kencing manis di kalangan warga Malaysia.

Ini memandangkan 15.6 peratus atau satu daripada setiap enam orang dewasa menghidap penyakit itu.

Ia juga salah satu isu kesihatan awam paling mendesak, menurut tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2023, lapor The Star.

Justeru, Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim mahu semua pihak mengambil serius saranan beliau untuk mengurangkan pengambilan gula.

Encik Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia juga antara negara dengan jumlah tinggi rakyat yang menghidap penyakit kencing manis.

"Di peringkat negeri dulu Kelantan, kemudian Kedah sebelum Negeri Sembilan pula ambil alih (kes tertinggi)... janganlah kita berlumba-lumba untuk penyakit ini, langkah ini (kurangkan gula) cara munasabah nak elak keterlanjuran kita dan saya harap benda ini dianggap serius.

"... bukan hanya (tindakan kerajaan) melalui langkah menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa mulai Januari depan sebanyak 40 sen seliter," katanya sewaktu membentangkan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di Dewan Negara pada Rabu (4 Dis).

Encik Anwar justeru mencadangkan supaya premis makanan di dalam bangunan Parlimen menurunkan sehingga 50 peratus kandungan gula dalam minuman dihidangkan.

"Saya cadangkan kantin di Parlimen ini kita ikut seperti apa dah dilakukan Jabatan Perdana Menteri iaitu turunkan 50 peratus kandungan gula... ini wajar kerana ahli-ahli yang berhormat harus menjadi contoh baik," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Dewan Rakyat melancarkan inisiatif Hari Tanpa Gula pada setiap Rabu bermula pertengahan Oktober lalu, melibatkan kakitangan Parlimen serta merangkumi semua Ahli Parlimen bertujuan menyemai budaya gaya hidup sihat.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita