1.6kg logam termasuk barang kemas dikeluarkan dari perut wanita
Para doktor yang kebingungan berjaya melakukan pembedahan bagi mengeluarkan 1.6 kilogram barang kemas, perhiasan, duit dan jam tangan daripada perut seorang wanita.

Barangan yang dikeluarkan dari perut pesakit. (Petikan gambar dari video YouTube/SWNS)
NEW DELHI: Para doktor yang kebingungan berjaya melakukan pembedahan bagi mengeluarkan 1.6 kilogram barang kemas, perhiasan, duit dan jam tangan daripada perut seorang wanita.
Pesakit berusia 22 tahun itu mengalami sakit perut dan muntah selama seminggu,setiap kali selesai makan sebelum beliau dimasukkan ke hospital.
Ujian sonografi dan x-ray mendedahkan perutnya dipenuhi logam - oleh itu para pakar bedah di Hospital dan Kolej Perubatan Pemerintah Rampurghat terpaksa melakukan pembedahan bagi mengeluarkan barangan tersebut.
Rantai, subang hidung, anting-anting, gelang tangan dan gelang kaki, 90 syiling serta jam tangan dikeluarkan dalam pembedahan yang mengambil masa selama 75 minit.
Ketua jabatan pembedahan, Dr Siddhartha Biswas, yang mengetuai pembedahan itu, berkata wanita tersebut menelan barangan diperbuat daripada emas, tembaga dan tembaga kuning.

(Gambar: SWNS)
Wanita itu, yang sedang menjalani rawatan psikiatri, mungkin mencuri barangan itu dari kedai barang kemas milik abangnya.
Keluarganya berkata: “Kami sedar ada beberapa barang kemas yang hilang. Namun setiap kali bertanya, beliau mula menangis dan tidak berkata apa-apa.”
Ibunya menambah: “Walaupun kami sering memerhatikannya, beliau dapat menelan objek itu. Beliau sudah tidak sihat sejak dua bulan lalu."
Dr Biswas mengesahkan pesakit dari Margram di Benggala Barat itu, stabil dan akan dibenarkan keluar hospital tidak lama lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.