Skip to main content

Dunia

1.4 juta calon 'berjemur' 3 jam bawah terik mentari demi rebut tempat di universiti Uzbekistan

Puluhan ribu anak muda membanjiri arena sukan di seluruh Uzbekistan pada Rabu (2 Sep) untuk menduduki peperiksaan kemasukan universiti di tempat terbuka ekoran pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
1.4 juta calon 'berjemur' 3 jam bawah terik mentari demi rebut tempat di universiti Uzbekistan

Lebih 1.4 juta pemohon menduduki peperiksaan kemasukan universiti di arena sukan di seluruh Uzbekistan. (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 04 Sep 2020 12:34AM Dikemas Kini : 04 Sep 2020 12:37AM

TASHKENT: Puluhan ribu anak muda membanjiri arena sukan di seluruh Uzbekistan pada Rabu (2 Sep) untuk menduduki peperiksaan kemasukan universiti di tempat terbuka ekoran pandemik COVID-19.

Peperiksaan secara besar-besaran itu, diadakan sepanjang dua minggu, dan akan menyaksikan lebih 1.4 juta pemohon mengambil ujian selama tiga jam dengan duduk di meja yang diletakkan di lorong balapan atau laluan stadium.

Kesemua calon itu bersaing untuk merebut sekitar 150,000 tempat di universiti di bawah sebuah sistem kemasukan berpusat.

Ratusan belia menghadiri sesi pertama peperiksaan itu di salah sebuah stadium di Tashkent pada pagi Rabu dengan memakai pelitup.

Para calon yang duduk di tempat teduh berasa selasa namun ramai lagi terpaksa 'berjemur' di bawah terik matahari.

Negara Asia Tengah dengan 34 juta penduduk itu baru sahaja menamatkan perintah berkurung seluruh negara kali kedua. Ini setelah ia menyaksikan lonjakan kes COVID-19 sewaktu pertengahan musim panas, yang membebankan sistem jagaan kesihatannya sehingga ke tahap maksimum.

Uzbekistan menyatakan minggu ini bahawa kursus di universiti tempatan akan bermula secara online dan bukannya secara fizikal. Sekolah-sekolah pula akan dibuka semula pada 14 September, iaitu dua minggu lebih lambat daripada kebiasaannya dengan pelajaran beralih ke pembelajaran jarah jauh, bergantung kepada keadaan setempat.

Pemerintah menyatakan pada Rabu bahawa kafe dan restoran akan dibuka semula mulai 5 September dengan beberapa sekatan. Begitu juga bagi panggung wayang, teater serta taman tema di negara tersebut.

Masjid dan tempat beribadat lain juga akan dibenarkan untuk mengadakan solat berjemaah atau sembahyang beramai-ramai mula tarikh tersebut.

Uzbekistan juga akan membuka semula sempadannya dengan negara jiran Kyrgystan.

Sementara itu, penggunaan pelitup terus diwajibkan di tempat awam manakala acara besar-besaran pula tetap dilarang.  

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Reuters/FZ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita