Skip to main content

Dunia

1,000 sambut 'kepulangan' penuh hiba Muhammad Adib

Helikopter yang membawa jenazah anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24 tahun, selamat mendarat di padang Sekolah Kebangsaan Tebengau, Kuala Kedah di sini, pada jam 10.29 pagi.

Anggaran Waktu Membaca:
1,000 sambut 'kepulangan' penuh hiba Muhammad Adib

(Gambar: @msianinsight/Twitter)

Diterbitkan : 18 Dec 2018 01:10PM Dikemas Kini : 18 Dec 2018 01:22PM

ALOR SETAR: Helikopter yang membawa jenazah anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24 tahun, selamat mendarat di padang Sekolah Kebangsaan Tebengau, Kuala Kedah di sini, pada jam 10.29 pagi.

Dianggarkan kira-kira 1,000 penduduk tempatan dan orang ramai yang menunggu sejak jam 8.00 pagi tadi di dalam dan luar kawasan sekolah tersebut, menyaksikan 'kepulangan' Muhammad Adib yang disahkan meninggal dunia malam semalam (17 Dis).

Jenazah yang ditemani ibu, bapa dan tunangnya diterbangkan dari Pangkalan Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Subang, Selangor pada 7.55 pagi tadi.

Sebaik tiba di sini, jenazah kemudian dibawa masuk ke dalam van jenazah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) lalu terus dibawa ke kediaman ibu bapanya di Kampung Tebengau yang terletak sekitar satu kilometer dari sekolah itu.

Jenazahnya diuruskan mengikut istiadat kebombaan dengan seramai 200 anggota dan pegawai berpakaian uniform JBPM lengkap bersongkok mengiringi sehingga ke rumah ibu bapanya untuk penghormatan terakhir.

Selepas penghormatan terakhir selesai, jenazah dijangka dikebumikan selepas waktu zohor di tanah perkuburan Masjid As-Saadah, yang terletak sekitar 500 meter dari rumah keluarga Allahyarham.

Turut hadir melawat keluarga dan memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Mohammad Mentek, Ketua Pengarah JBPM, Mohammad Hamdan Wahid serta Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Kedah, Dr Ismail Salleh.

Malam tadi (17 Dis), Muhammad Adib yang parah dipercayai dipukul perusuh ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya bulan lalu disahkan meninggal dunia pada jam 9.41 malam, di Institut Jantung Negara (IJN).

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita