Skip to main content

Dunia

1,000 kedai Rohingya dirobohkan pihak berkuasa Bangladesh

Pihak berkuasa Bangladesh merobohkan sekitar 1,000 kedai milik pelarian Rohingya di kem-kem pelarian, kata seorang pegawai pada Jumaat (10 Dis), dengan seorang pekerja hak asasi berkata bahawa langkah itu akan mempunyai "kesan ketara" terhadap mata pencarian para pelarian itu.

Anggaran Waktu Membaca:
1,000 kedai Rohingya dirobohkan pihak berkuasa Bangladesh

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 10 Dec 2021 10:18PM Dikemas Kini : 10 Dec 2021 10:20PM

COX'S BAZAR, Bangladesh: Pihak berkuasa Bangladesh merobohkan sekitar 1,000 kedai milik pelarian Rohingya di kem-kem pelarian, kata seorang pegawai pada Jumaat (10 Dis), dengan seorang pekerja hak asasi berkata bahawa langkah itu akan mempunyai "kesan ketara" terhadap mata pencarian para pelarian itu.

Sekitar 850,000 pelarian Rohingya ditempatkan di 34 kem pelarian di merata negara itu, sebahagian besar daripadanya melarikan diri dari sekatan tentera pada 2017 di Myanmar, yang menurut PBB mungkin satu genosid.

Bangladesh dipuji kerana menerima golongan pelarian itu namun kumpulan hak asasi mengkritik pihak berkuasa kerana mengenakan sekatan di kem-kem pelarian dan memindahkan beribu-ribu pelarian Rohingya ke sebuah pulau yang mudah terjejas oleh banjir.

Dengan menggunakan jengkaut, tukul dan penyodok, para pegawai kem pelarian di Bangladesh merobohkan kedai-kedai di beberapa kem pelarian di kawasan Cox's Bazar pada Khamis (9 Dis) dan Jumaat (10 Dis).

Tindakan mereka menyebabkan para pemilik kedai Rohingya bergegas cuba menyelamatkan barang-barangan mereka.

Timbalan Suruhanjaya Pelarian Shamsud Douza berkata pihak berkuasa merobohkan kedai-kedai yang didirikan "secara haram" di kesemua kem pelarian.

"Kami merobohkan sekitar seribu kedai yang didirikan secara haram. Kami merobohkan kedai-kedai itu untuk membina tempat berteduh bagi pelarian Rohingya," katanya kepada AFP.

Ratusan pelarian Rohingya berkumpul di tapak-tapak tersebut sedang jengkaut merobohkan struktur yang diperbuat daripada kayu buluh dan besi.

Ada yang menangis manakala ada yang berasa cemas.

"Mereka merobohkan kedai saya. Itu satu-satunya sumber mata pencarian saya. Dengan hasil pendapatan itu, saya dapat menyara keluarga saya seramai tujuh orang," kata Al Amin, 30 tahun.

"Ribuan pelarian Rohingya terjejas oleh langkah merobohkan kedai-kedai ini," katanya kepada AFP.

"Saya tidak tahu apa yang boleh saya lakukan sekarang. Apa yang boleh saya katakan? Tentera Myanmar memusnahkan masa depan kami. Kami hilang harta kami sekali lagi."

"Keluarga saya perlu diberi makan," kata pedagang produk kosmetik Abdur Rashid, 24 tahun.

"Isteri saya sedang hamil. Ibu bapa saya bergantung kepada mata pencarian saya dari kedai ini. Sekarang saya hilang segala-galanya."

Seorang pengkaji kumpulan hak asasi antarabangsa yang memantau situasi di kem-kem pelarian itu berkata pihak berkuasa merobohkan kedai-kedai itu untuk memberi tekanan kepada pelarian Rohingya supaya bersetuju untuk berpindah ke pulau Bhashan Char di Teluk Benggala.

Bangladesh sejauh ini sudah memindahkan hampir 19,000 golongan Rohingya ke Bhashan Char.

Sumber : AFP/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita