Skip to main content

Iklan

Iklan

Dapur masjid tak berasap, tapi tradisi ‘bubur masjid’ terus hidup

Sebilangan peniaga di Singapura aktif menghidupkan semangat Ramadan dengan mengagihkan 'bubur masjid' secara percuma kepada orang ramai.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebilangan peniaga di Singapura aktif menghidupkan semangat Ramadan dengan mengagihkan 'bubur masjid' secara percuma kepada orang ramai.

Ada yang menghulurkan sebanyak 2,000 bungkus bubur setiap hari.

Ini secara simbolik menghidupkan budaya dan amalan pengagihan juadah itu yang lazimnya dilakukan masjid-masjid, tetapi kini terpaksa ditutup dek COVID-19.

AL FALAH BARAKAH TAMPIL AGIH ‘BUBUR MASJID’

Semestinya ramai yang rindu dengan suasana pengagihan 'bubur masjid' yang jelas memaparkan semangat memberi dan sifat ukhuwah masyarakat Muslim, selain juga lambang kemesraan masjid.

Pada tahun-tahun lalu, masjid-masjid serata negara akan penuh sesak dengan orang ramai beratur mendapatkan ‘bubur masjid’ atau bubur lambuk. Khususnya bagi masjid-masjid yang diketahui memasak bubur yang ‘sedap’.

Hakikatnya, kesemua 70 masjid serata negara kini sunyi sepi kerana ditutup sehingga ke satu tarikh yang tidak ditetapkan akibat wabak COVID-19.

Ibarat 'tiada rotan, akar pun berguna', restoran seperti Al Falah Barakah di Changi Road antara yang tampil menyahut usaha mengagihkan 'bubur masjid' secara percuma bagi meneruskan tradisi itu.

Bermula dengan pengagihan lebih 200 bungkus bubur percuma pada hari pertama puasa, ia kemudian meningkatkannya kepada 500 bungkus bubur sejak hari kedua puasa.

Ini selepas restoran itu menerima sambutan memberangsangkan daripada orang ramai.

Pengurus Pemasaran di Restoran Al Falah Barakah, Encik Mohamed Gani Raja berkongsi: “Kami sudah berniaga selama 20 tahun. Kami hanya mula menawarkan bubur tahun ini. Kami faham betapa sukar untuk berbuka kini masjid ditutup di mana-mana. Mudah-mudahan ini akan memanfaatkan mereka yang tidak dapat berbuka di masjid.”

Malah, bubur Ramadan ini turut diagihkan di tiga lagi cawangan Restoran Al Falah di Hougang, Serangoon dan Sembawang, dengan masing-masing menyumbang 500 bungkus bermula jam 2.30 petang.

Jadi secara keseluruhannya, rangkaian restoran itu kini membahagi-bahagikan 2,000 bungkus bubur percuma setiap hari – jelas tak kalah seperti amalan sesebuah masjid pada Ramadan lalu.

DARI ASAM PEDAS KE ‘BUBUR MASJID’

Sebuah lagi kedai makan yang tampil dengan inisiatif serupa ialah Asam Pedas Claypot Super, yang terletak di Ghim Moh Road.

Ia mengagihkan sehingga 250 bungkus bubur percuma setiap hari kepada orang ramai di kedainya.

Seolah-olah mahu mengambil ‘berkat’ masjid, pemilik kedai itu Encik Ahmad Shukri Munir malah meminjam periuk dari Masjid Jamek Queenstown untuk memasak 'bubur masjid' tersebut.

“Oleh kerana masjid pun tutup, saya pun bukalah. Sayalah yang kena masak kali ini,” kata Encik Ahmad Shukri bergurau.

“Masjid Khadijah dan Masjid Jamek Queenstown lagi sedap. Saya ini cuma campak-campak saja, tapi ada yang cakap sedap,” kata beliau lagi merendah diri.

‘BUBUR MASJID’ DEKAT MASJID DARUL AMAN

‘Anna’s Cafe’ merupakan satu lagi premis perniagaan yang juga sudah mula mengagihkan bubur tersebut untuk masyarakat umum.

Restoran itu terletak bertentangan Masjid Darul Aman. Jadi, ia seperti menggantikan buat sementara peranan masjid tersebut mengagihkan bubur percuma semasa tempoh COVID-19 ini.

Diagihkan bermula 1.30 petang, setiap pengunjung dibolehkan mengambil satu bungkus setiap seorang.

Yang jelas, amal mulia seperti itu yang dilakukan restoran-restoran dan kedai-kedai makan, semestinya menghidupkan satu lagi ciri penting Ramadan - iaitu semangat keihsanan di tengah-tengah pandemik COVID-19 yang melanda sekarang.  

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan