Skip to main content

Iklan

Iklan

'Dalam masa 4 minggu, jika semua berjalan lancar, perlindungan vaksinasi kita dijangka jauh lebih tinggi,' kata PM Lee

Singapura kini dalam keadaan lebih selamat berbanding enam bulan lalu dengan sepertiga penduduk sudahpun menerima sekurang-kurangnya dos pertama suntikan vaksin COVID-19. 

Anggaran Waktu Membaca:
'Dalam masa 4 minggu, jika semua berjalan lancar, perlindungan vaksinasi kita dijangka jauh lebih tinggi,' kata PM Lee

Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengunjungi tempat pengambilan ART di Teck Ghee dan Cheng San pada 20 Jul 2021. (Gambar: MCI)

SINGAPURA: Singapura kini dalam keadaan lebih selamat berbanding enam bulan lalu dengan sepertiga penduduk sudahpun menerima sekurang-kurangnya dos pertama suntikan vaksin COVID-19.

Menulis demikian di laman Facebooknya pada Selasa (20 Jul), Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata Singapura sudahpun membuat kemajuan baik secara keseluruhannya. 

"Dalam masa empat minggu, jika semua berjalan lancar, kadar perlindungan vaksinasi kita dijangka jauh lebih tinggi dan kita mungkin boleh melonggarkan langkah-langkah sekatan. Kita belum lagi berada di norma baru tetapi hampir menuju ke arah itu," kata PM Lee.

Menyifatkan COVID-19 sebagai "musuh yang menggerunkan", beliau berkata Singapura harus bersedia menempuhi sebarang rintangan sepanjang usaha memajukan diri ke hadapan dalam perjuangan menentang koronavirus itu.

Ini seperti pengumuman oleh Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) pada Selasa (20 Jul) bahawa Singapura akan kembali semula ke Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) mulai Khamis, 22 Julai, sehingga 18 Ogos. Sepanjang tempoh itu, orang ramai tidak dibenarkan duduk makan di luar dan saiz kumpulan bagi perhimpunan sosial pula dikurangkan kepada dua orang sahaja.

Langkah itu dibuat setelah kes COVID-19 dalam masyarakat naik mendadak ekoran kelompok-kelompok KTV serta Pelabuhan Perikanan Jurong yang sudahpun merebak ke banyak pasar dan pusat penjaja.

"Kita semua kecewa dengan langkah mundur ini tetapi COVID-19 adalah musuh yang kuat," ujar PM Lee.

Maka itu, kata beliau, langkah-langkah pengetatan semula ini akan membantu memperlahankan penularan lanjut.

"Kami berharap dapat mengelakkan tercetusnya beberapa kelompok kecil di setiap pasar dan pusat penjaja seperti yang berlaku di sekitar Pasar Bukit Merah View. Ia akan memberi kami masa untuk mendapatkan lebih ramai orang divaksin sepenuhnya, terutama warga tua belum divaksin yang paling berisiko," kata PM Lee.

Selain itu, tambah Perdana Menteri, strategi utama Singapura untuk melawan COVID-19 adalah ujian berkala.

Dengan kes positif dikesan baru-baru ini di pasar dan pusat penjaja, para penduduk yang tinggal berhampiran sesetengah tapak penularan boleh mengambil kit Ujian Pantas Antigen (ART) untuk melakukan ujian itu sendiri.

PM Lee turut berkongsi beliau melihat ramai penduduk mendapatkan kit tersebut apabila beliau mengunjungi tempat pengambilan ART di Teck Ghee dan Cheng San pada Selasa.

"Sebilangan daripada mereka memberitahu saya mereka mahu memastikan mereka dan keluarga mereka OK. Gembira kerana mereka memainkan peranan mereka untuk melindungi diri serta masyarakat," ungkapnya lagi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan