COVID-19: Trump ugut potong dana kepada WHO
Presiden Donald Trump pada Selasa (7 Apr) mengancam memotong pendanaan Amerika Syarikat (AS) kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
(Gambar: Agensi berita)
WASHINGTON: Presiden Donald Trump pada Selasa (7 Apr) mengancam memotong pendanaan Amerika Syarikat (AS) kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Ini menyusuli dakwaan beliau bahawa agensi antarabangsa itu berat sebelah terhadap China berhubung pandemik COVID-19 kerana pihak berkuasa menarik balik sekatan perjalanan selama dua setengah bulan di Wuhan.
Encik Trump berkata di Washington, bahawa beliau akan ‘menahan sebahagian besar pendanaan kepada WHO’.
Amerika Syarikat adalah penyumbang terbesar kepada WHO yang juga badan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Mereka silap langkah," katanya mengenai amaran perjalanan WHO mengenai China.
Bagaimanapun, Encik Trump tidak memberikan maklumat lanjut mengenai jumlah wang yang akan ditahan dan beberapa minit kemudian semasa di sidang media sama, beliau berkata hanya "mempertimbangkan menghentikan pembiayaan."
China berdepan kritikan berhubung cara negara itu menangani penularan virus berkenaan pada peringkat awalnya.
Malah, Encik Trump juga menyuarakan keraguannya terhadap ketepatan perangkaan China mengenai jumlah kes jangkitan dan kematian di negara itu akibat COVID-19.
Bagaimanapun, Encik Trump sendiri turut dikritik kerana memandang remeh wabak itu pada peringkat awal dengan menyifatkannya sebagai selesema biasa, sebelum menerima hakikat bahawa ia adalah satu kecemasan negara.
Setakat ini, lebih 12,000 penduduk Amerika Syarikat sudah meninggal dunia akibat COVID-19, menurut Universiti Johns Hopkins.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.