COVID-19: Tampines Dormitory diisytiharkan sebagai kawasan pengasingan
Sebuah lagi asrama pekerja warga asing, iaitu yang kelima, Tampines Dormitory diisytiharkan sebagai kawasan pengasingan bagi mencegah "kemungkinan penularan" COVID-19.
Tampines Dormitory.
SINGAPURA: Sebuah lagi asrama pekerja warga asing, iaitu yang kelima, Tampines Dormitory diisytiharkan sebagai kawasan pengasingan bagi mencegah "kemungkinan penularan" COVID-19.
Pada Khamis (9 Apr), Kementerian Kesihatan (MOH) melaporkan 17 lagi kes yang dikaitkan dengan Tampines Dormitory di 2 Tampines Place, yang mempunyai sebanyak 38 kes.
Menurut satu notis oleh MOH di Warta Pemerintah pada Khamis, pemberitahuan di bawah Akta Penyakit Berjangkit itu berkuat kuasa pada pukul 11.59 malam pada Khamis.
LEBIH BANYAK BLOK DI SUNGEI TENGAH LODGE DIISYTIHARKAN KAWASAN PENGASINGAN
Lapan lagi blok di asrama pekerja asing Sungei Tengah Lodge juga diwartakan sebagai kawasan pengasingan pada Khamis. Blok-blok tersebut adalah 502, 504, 508, 510, 514, 516, 518 dan 520 Old Choa Chu Kang Road. Notis itu berkuat kuasa pada 11.45 malam pada Khamis.
Dua blok di Sungei Tengah Lodge - 506 and 512 Old Choa Chu Kang Road - diisytiharkan sebagai kawasan pengasingan pada Rabu.
Asrama itu, yang mempunyai 10 blok penginapan dan boleh menempatkan sehingga 25,000 pekerja, adalah asrama pekerja terbesar di Singapura, menurut laman webnya.
Pada Khamis, MOH melaporkan 14 lagi kes COVID-19 yang dikaitkan dengan Sungei Tengah Lodge, yang kini mempunyai keseluruhan 43 kes.
Jumlah kes virus korona melibatkan asrama pekerja warga asing melonjak sejak beberapa hari lalu.
Pada Ahad, dua asrama pekerja asing - S11 Dormitory @ Punggol dan Westlite Toh Guan - diwartakan sebagai kawasan pengasingan.
Hampir 20,000 pekerja di dua asrama itu dikuarantin dan mereka perlu kekal di dalam bilik mereka selama 14 hari.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.